KL City mula langkah kanan

Iklan
Antara aksi menarik KL City menentang Kaya FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Khamis. Foto Kuala Lumpur City FC

KELAB Liga Super, Kuala Lumpur City (KL City) FC memulakan kempen Kumpulan B Kejuaraan Piala Kelab Asia Tenggara dengan kemenangan selepas menewaskan wakil Filipina, Kaya FC-Iloilo, 1-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Khamis.

Penyerang sensasi, Muhammad Haqimi Azim Rosli muncul wira The City Boys apabila jaringan tunggal minit ke-12 menjelmakan tiga mata buat pasukan tuan rumah.

Iklan
Iklan

The Lions kendalian Yu Hoshide yang berusaha menyamakan kedudukan selepas itu gagal menterjemahkan beberapa peluang merobek gawang City Boys bimbingan Miroslav Kuljanac.

Anak buah Kuljanac selepas ini akan berdepan wakil Indonesia, Borneo pada 26 September depan.

Iklan

Sebagai rekod Kejuaraan Piala Kelab Asia Tenggara melibatkan kelab Asia Tenggara disertai dua pasukan dari Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam manakala Singapura dan Filipina diwakili satu kelab.

Naib juara Piala FA 2023, KL City dan naib juara Piala Malaysia 2023, Terengganu FC (TFC) mewakili Malaysia dengan juara dan naib juara setiap kumpulan layak ke separuh akhir.

Iklan

Terengganu diundi dalam Kumpulan A bersama wakil Thailand BG Pathum United, PSM Makassar (Indonesia), Dong A Thanh (Vietnam), Shan United (Myanmar) dan Svay Rieng (Kemboja).

Sementara itu, KL City bersama Buriram United (Thailand) Cong An Ha Noi FC (Vietnam), Borneo FC (Indonesia), Kaya-Iloilo FC (Filipina) dan Lion City Sailors (Singapura) diundi dalam Kumpulan B.