GEORGETOWN - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pihak yang bertanggungjawab dalam penyebaran mesej palsu mengenai koronavirus tampil untuk membantu siasatan.
Pengarahnya, Dr Asmayani Khalib berkata, pihaknya sedang giat menyiasat mengenai beberapa mesej palsu kononnya berlaku jangkitan virus tersebut di negeri ini.
Menurutnya, maklumat daripada orang awam dapat membantu siasatan mengenai mesej palsu yang menyebabkan masyarakat setempat panik.
"Kami sedang giat menyiasat siapa yang bertanggungjawab dan suka menyebarkan maklumat palsu ini sehingga menyebabkan masyarakat sekeliling panik. Oleh itu, saya meminta sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat tentang pihak bertanggungjawab ke atas mesej palsu ini agar tampil bagi membantu kami menyiasat.
"Saya juga ingin menasihatkan semua pihak agar tidak menyebarkan maklumat yang bukan dikeluarkan dari pihak berkuasa. Isu ini serius dan bukan untuk dimain-mainkan. Setakat ini, tiada kes jangkitan koronavirus dilaporkan di Pulau Pinang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Asmayani berkata demikian bagi mengulas mesej palsu kononnya terdapat tiga pesakit sedang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) kerana dijangkiti koronavirus.
Beliau turut meminta orang ramai supaya menjadi pengguna media sosial yang bijak dan matang selain tidak menyebarkan mesej palsu tanpa pengesahan pihak berkuasa terlebih dahulu.
Sebelum ini, tular satu mesej melalui WhatsApp oleh pihak tidak bertanggungjawab kononnya dua individu yang berkunjung ke Thailand telah dimasukkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana disyaki dijangkiti koronavirus.
Mesej itu turut menyatakan HSJ telah membuka wad pengasingan bagi tujuan kuarantin untuk pesakit tersebut.