Dewan perniagaan Chile, Malaysia bakal ditubuhkan

Iklan
Duduk dari kiri: Sebastian, Zairul Hisham, Patricio dan Jefree. Berdiri dari kiri: Ezhar Fahim, Abu Bakar dan Roberto.

SEBUAH dewan perniagaan antara negara Chile dan Malaysia akan ditubuhkan dalam masa terdekat bagi memperkukuhkan hubungan perniagaan industri guaman.

Rakan kongsi pengurusan, Zairul Hisham Zubir berkata, ia bertujuan untuk memudahkan interaksi dua hala bagi melancarkan aktiviti-aktiviti perniagaan di antara kedua-dua negara tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tindakan tersebut dipersetujui kedua-dua negara di dalam perjanjian persefahaman yang dilaksanakan pada 17 Ogos lalu.

"Jarak yang jauh tidak dapat menghalang dua firma guaman dari Chile dan Malaysia untuk bergabung serta bersatu tenaga bagi menjayakan kolaborasi strategik yang saling menguntungkan.

Iklan

"Ia juga bermanfaat bagi firma-firma guaman tersebut dan pelanggan mereka yang terdiri daripada entiti-entiti korporat dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya pada Khamis.

Firma guaman tertua dari Chile, Estudio Jeridico Perez Donoso Y Compania Limitada (Perez Donoso) dan Tetuan Zairul Zain & Syed, mengambil inisiatif untuk menandatangani perjanjian persefahaman pada 17 Ogos lalu.

Iklan

Sesi tersebut diadakan di The Mines Resort & Gold Club, Seri Kembangan diwakili oleh Patricio Morales Aguirre bagi pihak Perez Donoso dan Zairul Hisham mewakili Tetuan Zairul Zain & Syed.

Hadir sama, Duta Besar Malaysia ke Chile, Abu Bakar Mamat; rakan kongsi Perez Donoso, Sebastian Reyes Perez dan Roberto Eduardo Leon Ramirez selaku konsulat terhormat Chile; Datuk Jefree Zain Affendi Dan Yunan dan Encik Ezhar Fahim Mohamed Fahim selaku rakan kongsi Tetuan Zairul Zain & Syed.

Tambah Zairul Hisham, dalam lawatan ke Kuala Lumpur pada 14 Ogos lalu, beberapa pertemuan diaturkan antaranya dengan Setiausaha Agung Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Ahmad Yazid Othman; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Mahadhir Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Service (EMGS), Novie Tajuddin.

Ujarnya, beberapa ahli perniagaan di antaranya dalam bidang korporat, minyak dan gas, perkapalan, perlombongan serta perladangan kelapa sawit turut menyertai pertemuan tersebut.

"Mereka juga berkesempatan untuk bertemu dengan Duta Besar Chile di Kedutaannya di Kuala Lumpur, Jaime Munoz Sandoval pada 16 Ogos lalu.

"Chile merupakan negara dagang kelima terbesar bagi Malaysia dalam kalangan negara Amerika Latin dan jumlah perdagangan dua hala pada 2023 berjumlah sebanyak RM1.99 bilion,” katanya.