MANCHESTER United dilaporkan terdesak untuk menjual empat pemainnya iaitu Jadon Sancho, Scott McTominay, Hanibal Mejbri dan Victor Lindelof sebelum tarikh akhir perpindahan pemain, Jumaat depan.
Menurut laporan The Manchester Evening News, empat pemain berkenaan tiada dalam perancangan Erik ten Hag untuk musim ini.
Hanya McTominay disenaraikan ten Hag dalam perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Fulham minggu lalu.
Pada perlawanan itu, McTominay digantikan dengan penyerang baharu, Joshua Zirkzee yang berjaya meledak gol kemenangan United pada penghujung perlawanan.
Pemain antarabangsa Scotland itu menarik perhatian Fulham yang dilaporkan telah kembali meneruskan perbincangan dengan United selepas sebelum ini dua bidaan mereka ditolak.
Sancho telah disenaraikan dalam skuad pramusim tetapi disisihkan pada pertemuan menentang Fulham dengan ten Hag mendakwa masalah kecergasan menghalangnya daripada disenaraikan pada hari perlawanan.
Chelsea dikhabarkan berminat merekrut Sancho yang tampil cemerlang semasa tempoh pinjamannya di Borussia Dortmund musim lalu.
Hannibal pula menjadi sasaran Burnley, manakala Lindelof yang dilihat menggunakan tongkat baru-baru ini hanya berbaki setahun dalam kontrak semasanya di Old Trafford.