Peluang anak muda miliki rumah pertama

Iklan
KPKT mencadangkan Deposit Madani maksimum RM30,000 kepada golongan belia terutama B40 serta M40 bagi membantu mereka memiliki kediaman pertama.

HARGA rumah yang semakin tinggi, rata-rata mencecah RM300,000 ke atas terutama dibangunkan oleh pemaju swasta, selain kedudukan kewangan masih tidak stabil menyukarkan peluang anak muda memiliki rumah pertama, sama ada di kawasan bandar atau luar bandar pada hari ini.

Ia sememangnya memberi kesan kepada anak muda yang baru bekerja, apatah lagi dengan gaji minimum, menyebabkan golongan berkenaan akan terus mengutamakan konsep sewa berbanding pembelian hartanah.

Iklan
Iklan

Ramai dalam kalangan mereka tidak mampu untuk menyediakan wang muka diperlukan atau menanggung beban ansuran bulanan tinggi, yang menjadikan rumah pertama semakin tidak terjangkau walaupun usia semakin meningkat.

Justeru, inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang mencadangkan Deposit Madani maksimum RM30,000 kepada golongan belia terutama B40 serta M40 bagi membantu mereka memiliki kediaman pertama dilihat sebagai langkah positif dan wajar disambut baik.

Iklan

Itu adalah antara 33 cadangan yang akan dikemukakan kementerian berkenaan kepada Kementerian Kewangan melibatkan peruntukan hampir RM1 bilion bagi Belanjawan 2025 untuk merealisasikan aspirasi ‘Rumahku Syurgaku’ agar setiap rakyat memiliki tempat tinggal dan mempunyai aset seperti rumah.

Selain menggalakkan pemilikan rumah, inisiatif berkenaan dijangka dapat merancakkan pasaran hartanah negara terhadap peningkatan permintaan rumah. Ia juga seiring dengan usaha meningkatkan gaji dalam kalangan penjawat awam yang boleh membantu meningkatkan kualiti hidup dan merapatkan jurang kekayaan.

Iklan

Selain inisiatif yang dicadangkan itu, pada masa sama kerajaan diharap dapat membina lebih banyak rumah mampu milik di lokasi strategik di pinggir bandar mahupun berdekatan dengan Lembah Klang dan harga rumah juga perlu sesuai dengan saiz rumah yang bakal dijual.

Ia termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), Program Rumah Mesra Rakyat (RMR), kediaman di bawah Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dan Program Perumahan PR1MA di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.

Semoga inisiatif kerajaan yang dicadangkan itu menjadi kenyataan, sekali gus dapat merealisasikan impian anak muda mencapai matlamat pemilikan kediaman sendiri atau selamanya mereka hanya akan mampu lihat sahaja sahaja kerana harga rumah yang tak masuk akal!