Keluarga polis teruskan legasi rentas tiga generasi

Iklan
Hussin (tengah) ditemani anaknya Ahmad Shafiki (kiri) bergambar kenangan bersama Ketua Polis Daerah Bachok pada Program Santuni Pesara Polis Sempena Bulan Kemerdekaan IPD Bachok di Kampung Alor Bakat pada Khamis. Foto Bernama

BACHOK - Selama 34 tahun menabur bakti sebagai anggota polis, bekas Sarjan Hussin Deris, 76, amat berbangga apabila anak sulungnya, Superintenden Ahmad Shafiki, 51, turut mengikut jejak menyarung seragam 'Sang Saka Biru' itu.

Lebih membanggakan Hussin apabila anaknya itu yang kini menyandang jawatan Ketua Polis Daerah Machang, adalah generasi ketiga polis dalam keluarga mereka iaitu selepas beliau dan bapanya sendiri, Allahyarham Koperal Deris Said.

Iklan
Iklan

"Sebelum saya dan anak sulung, bapa saya sudah terlebih dahulu berkhidmat dalam pasukan polis iaitu ketika negara belum mencapai kemerdekaan.

"Dua lagi anak saya Kamarul Hisham dan yang bungsu, Mohamad Abdul Hakim masing-masing juga anggota pasukan keselamatan iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Ulu Kinta, Perak,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Polis Daerah Bachok, Supt Mohamad Ismail Jamaluddin semasa Program Santuni Pesara Polis Sempena Bulan Kemerdekaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok di Kampung Alor Bakat di sini pada Khamis.

Hussin (tengah) menunjukkan gambarnya ketika bertugas sebagai polis ketika ditemui pemberita pada Program Santuni Pesara Polis Sempena Bulan Kemerdekaan IPD Bachok di Kampung Alor Bakat pada Khamis. Foto Bernama

Beliau yang mesra dengan panggilan 'Pok Nik Hussin' berkata, abangnya, Abu Hassan Deris, 78, turut menganggotai pasukan polis.

Iklan

Mengimbau kenangan semasa bertugas, beliau berkata, pengalaman paling ngeri apabila kenderaan dinaiki terbabas ke dalam gaung sedalam lebih 17 meter di Bukit Fraser, Pahang, ketika mengiringi Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein pada 1971.

"Ketika itu saya baru sahaja menyertai pasukan polis bersama beberapa lagi rakan, walaupun tidak mengalami kecederaan parah tetapi cukup bimbang kerana kami tahu kawasan tersebut banyak pengganas komunis.

"Seingat saya, kenderaan yang dinaiki tenggelam dalam air separas lutut dan saya hanya tersedar daripada pengsan selepas hidung dimasuki air,” katanya yang memulakan kerjaya polis ketika berusia 22 tahun dan bersara pada 2004 ketika usia 56 tahun.

Hussin berkata, beliau juga pernah diugut tembak oleh seorang lelaki ketika bertugas di Jerangau, Ulu Dungun, Terengganu berikutan ketegasannya tidak mahu bersekongkol dengan pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau bersyukur kerana sepanjang perkhidmatan tidak mengalami kecederaan parah, namun sedih mengenang ada rakan sepasukan yang meninggal dunia dan cacat anggota badan akibat terkena jerangkap samar. - Bernama