Pertarungan dua sekolah status PLD

Iklan
Pasukan SMK Shah Alam

[DIKEMAS KINI] PERTEMBUNGAN dua gergasi bola sepak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam dan SMK Dato' Harun dalam aksi separuh akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 tahun (B-18) boleh diibaratkan sebagai perlawanan akhir kejuaraan edisi 2024.

Disifatkan buku bertemu ruas, pertarungan SMK Dato' Harun (PPD Kuala Selangor) menentang SMK Shah Alam (PPD Petaling Perdana) tidak hanya memperlihatkan persembahan pemain-pemain, tetapi juga percaturan taktikal barisan kejurulatihan dua sekolah berstatus Pusat Latihan Daerah (PLD) tersebut.

Iklan
Iklan

Biarpun begitu pengurus pasukan SMK Shah Alam, Zaharol Ismail lebih selesa tampil dengan status bukan pilihan menyifatkan SMK Dato' Harun memiliki kelebihan pengalaman berbanding dengan anak-anak buahnya.

"Satu perlawanan epik antara dua sekolah berstatus PLD, namun SMK Dato' Harun mempunyai kelebihan dari segi pengalaman jika dibandingkan SMK Shah Alam yang masih lagi baharu dalam kejuaraan ini.

Iklan

"Kita menjangkakan SMK Dato’ Harun akan turun dengan semangat juang tinggi untuk memenangi kejuaraan tahun ini setelah dua tahun berturut-turut berputih mata pada perlawanan akhir.

"Kita akui ini merupakan cabaran kepada pemain-pemain pasukan SMK Shah Alam untuk menampilkan aksi lebih bertenaga pada perlawanan separuh akhir," katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Iklan

SMK Shah Alam akan melayan kunjungan SMK Dato' Harun aksi separuh akhir di padang Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 28 pada Jumaat ini.

Mengenai status terkini pemain-pemain SMK Shah Alam, Zaharol berkata, pasukan meletakkan sasaran menamatkan permainan dalam tempoh sebenar perlawanan.

Jelasnya, perancangan taktikal SMK Shah Alam sedikit terganggu kerana terdapat beberapa pemain utama masih dibelenggu masalah kecederaan.

"Biarpun begitu, kita yakin pemain-pemain simpanan juga memiliki kualiti sama seperti pemain utama serta mampu melakukan kejutan dalam perlawanan separuh akhir.

"Kita harap pemain SMK Shah Alam berjuang habis-habisan sehingga wisel penamat seterusnya mara ke perlawanan akhir tahun ini," katanya.

SMK Shah Alam sebelum itu mengesahkan kemaraan ke pentas empat terbaik selepas menang tipis 1-0 ke atas SMK Tinggi Kajang (PPD Hulu Langat).

Sementara SMK Dato' Harun, naib juara Piala Sumbangsih mengesah slot separuh akhir selepas menewaskan SMK Darul Ehsan (PPD Gombak), 3-0.

Skuad SMK Dato' Harun.

Dalam pada itu, SMK Dato' Harun bertekad menamatkan perlawanan dalam masa 60 minit permainan apabila berdepan SMK Shah Alam bagi pemburuan slot perlawanan akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 tahun (B-18).

Malah Ketua Jurulatih Skuad SMK Dato' Harun, B-18 Mohd Zulfadli Mohamad Ali menegaskan pemain-pemain pasukan tersebut sudah bersedia fizikal dan mental berdepan anak buah Mohamad Shahrul Hisham Khasim di padang Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 28 pada Jumaat.

"Sejujurnya, kami menjangkakan satu perlawanan yang sukar dan sengit, SMK Shah Alam sememangnya sebuah pasukan yang kuat.

"Biarpun begitu berdasarkan persembahan semasa pemain-pemain SMK Dato' Harun, kami akan menampilkan tentangan sehabis baik.

"Kondisi pasukan berada pada tahap terbaik apabila tiada pemain yang dikenakan pengantungan, cuma kami terpaksa menyisihkan seorang pemain yang masih mengalami kecederaan," katanya.

Sebagai rekod edisi 2022, kedua-dua pasukan pernah bertemu di perlawanan akhir yang dimenangi SMK Shah Alam selepas menumpaskan SMK Dato’ Harun, 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti.