Rakyat Pahang teruja saksi 'live' istiadat perkahwinan diraja

Iklan
Orang ramai yang datang ke Padang MBK1 di sini teruja dapat menyaksikan istiadat akad nikah perkahwinan Tengku Puteri Afzan dan pasangan, FD Idzham yang disiarkan secara langsung melalui skrin gergasi di lokasi itu pada malam Khamis.

KUANTAN - Cuaca hujan pada sebelah petang tidak menghalang orang ramai untuk datang ke Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MBK1) di sini bagi menyaksikan istiadat akad nikah perkahwinan diraja Puteri Sultan Pahang, Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan pasangan, FD Idzham FD Iskandar yang disiarkan secara langsung melalui skrin gergasi di lokasi itu pada malam Khamis.

Orang ramai yang datang ke Padang MBK1 di sini teruja dapat menyaksikan istiadat akad nikah perkahwinan Tengku Puteri Afzan dan pasangan, FD Idzham yang disiarkan secara langsung melalui skrin gergasi di lokasi itu pada malam Khamis.

Cuaca baik pada sebelah malam menyebelahi rakyat apabila 'live' detik bersejarah itu dapat disaksikan dari awal hingga selesai.

Iklan
Iklan

Jururawat, Noormahiza Zaini, 40 berkata, dia bersama keluarga dari Gambang mengambil peluang singgah ke Padang MBK1 kerana tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan istiadat akad nikah Tengku Puteri Afzan dan pasangan.

Noormahiza Zaini

Menurutnya, biarpun hanya menyaksikan majlis di skrin gergasi, ia amat bermakna baginya dan keluarga kerana dapat berkongsi kegembiraan pasangan pengantin itu.

Iklan

"Risau juga cuaca tidak menyebelahi kerana petang tadi (Khamis) hujan.

"Allhamdulillah, cuaca baik pada malam ini jadi tertunailah niat hendak lihat istiadat akad nikah perkahwinan Puteri Tuanku Sultan Pahang ini," katanya.

Iklan

Noormahiza dan keluarga turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang atas perkahwinan puteri baginda berdua itu.

"Tidak lupa kami juga mendoakan kebahagian pasangan pengantin ini semoga jodoh mereka kekal hingga ke jannah," ujarnya.

Sementara itu, pelajar Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) di sini, Futri Amisha Dewina Badrul Hisham, 20 mengakui begitu teruja dapat menyaksikan istiadat perkahwinan diraja itu.

Futri Amisha Dewina Badrul Hisham

Katanya, ia satu pengalaman baharu kerana pertama kali dapat menyaksikan istiadat perkahwinan keluarga diraja Pahang.

"Walaupun hanya menyaksikan di layar gergasi, ia cukup bermakna kerana dapat menyaksikan detik bersejarah ini,"katanya yang datang ke lokasi itu bersama rakan.

Futri Amisha Dewina turut mendoakan Tengku Puteri Afzan dan suami, FD Idzham sentiasa dalam rahmat ALLAH SWT dan berkekalan sehingga ke akhir hayat.

Bagi penjawat awam, Mohd Hafiz Aizuddin, 33, sebagai rakyat dia begitu gembira kerana pertama kali berpeluang menyaksikan istiadat perkahwinan diraja puteri Sultan Pahang itu.

Mohd Hafiz Aizuddin

Katanya, sebelum ini dua hanya menyaksikan istiadat perkahwinan keluarga diraja lain misalnya sambutan perkahwinan Putera Brunei, Putera Abdul Mateen dan isteri Januari lalu melalui media massa dan media sosial.

"Kali ini perasaannya lain, lebih teruja kerana melibatkan keluarga diraja Pahang sendiri.

"Sedikit sebanyak dapatlah tahu bagaimana adat istiadat perkahwinan diraja Pahang misalnya akad nikah seperti yang berlangsung pada malam ini (Khamis).

"Tahniah buat pasangan pengantin," ujarnya.

Perasaan sama turut dikongsi kakitangan swasta, Intan Aida Nadhirah Iszaidi, 23 dari Indera Mahkota di sini yang datang ke lokasi itu bersama keluarga untuk menyaksikan detik bermakna bagi rakyat Pahang.

Intan Aida Nadhirah Iszaidi

"Peristiwa seperti ini jarang dapat kita saksi jadi saya dan keluarga tidak lepaskan peluang untuk datang ke Padang MBK1 salah satu lokasi skrin gergasi yang disediakan untuk orang ramai menyaksikan istiadat perkahwinan ini secara langsung.

"Memang sangat teruja dan gembira dapat bersama menyaksikan detik-detik bersejarah ini," katanya sambil mendoakan kebahagian pasangan itu.

Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan pasangan, FD Idzham FD Iskandar selamat diijabkabulkan dengan dua kali lafaz dalam Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja yang berlangsung di Istana Abdulaziz di sini pada malam Khamis.

FD Idzham mengenakan busana serba putih dilihat tenang sewaktu lafaz akad yang disempurnakan Mufti Pahang, Datuk Prof Dr Asmadi Mohamed Naim.

Istiadat perkahwinan diraja itu akan berlangsung tiga hari pada Khamis (akad nikah) Jumaat (berinai) dan Ahad (bersanding).