MERSING - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan 15 warga asing dalam dua serbuan di sembilan premis sekitar Mersing serta di Batu Pahat, pada Ahad dan Selasa lalu.
Menurut Pengarah JIM Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Darus, dalam serbuan di Mersing, lima lelaki warga Indonesia berusia 26 hingga 50 tahun ditahan kerana didapati bekerja dan tinggal di negara ini tanpa pas dan dokumen perjalanan yang sah.
"Operasi penguatkuasaan berkenaan dibuat usulan aduan dan maklumat awam yang menyatakan terdapat sejumlah warga asing bekerja tanpa pas yang sah selain tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah untuk tinggal di negara ini.
"Seramai 37 warga asing termasuk warga tempatan telah diperiksa dan daripada jumlah itu lima lelaki Indonesia telah ditahan kerana didapati tidak memiliki pas serta dokumen yang sah untuk bekerja dan tinggal di negara ini,” katanya.
Kesemua mereka ini didapati telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.
Sementara itu, pada Ahad, seramai 10 warga asing turut ditahan juga tidak memiliki permit untuk bekerja atau tinggal di negara ini dalam satu operasi bersepadu bersama empat agensi lain di sekitar Batu Pahat.
Mohd Rusdi berkata, operasi yang bermula sekitar jam pagi itu turut disertai oleh pihak Majlis Perbandaran Batu Pahat, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, Jabatan Kasam Diraja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Batu Pahat.
"Dalam operasi kali ini, seramai 49 warga asing termasuk warga tempatan telah diperiksa dan hasilnya 10 warga asing telah ditahan.
"Kesemua yang ditahan melibatkan enam lelaki dan seorang wanita warga Nepal, dua lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki warga Bangladesh berusia antara 22 hingga 40 tahun kerana didapati bekerja dan tinggal di negara ini tanpa pas dan dokumen perjalanan yang sah,” katanya.