Pemilik agensi pelancongan rugi RM49,800 ditipu 'rakan'

Iklan
Seorang pemilik agensi pelancongan mengalami kerugian sebanyak RM49,800 selepas ditipu seorang individu yang menyamar sebagai rakannya menerusi panggilan telefon. Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU - Seorang pemilik agensi pelancongan mengalami kerugian sebanyak RM49,800 selepas ditipu seorang individu yang menyamar sebagai rakannya menerusi panggilan telefon.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, lelaki berusia 63 tahun itu menerima panggilan telefon menerusi nombor tidak dikenali yang mengaku sebagai kenalan rapat mangsa dalam kejadian pada Rabu lepas.

Iklan
Iklan

"Mangsa yakin individu tersebut merupakan rakannya kerana suara yang seakan sama.

"Menerusi panggilan itu, rakan mangsa telah meminta bantuan kewangan kerana menghadapi masalah kewangan dan kecemasan.

Iklan

"Mangsa dengan rela hati telah membuat pemindahan wang sebanyak dua kali transaksi ke akaun bank yang diarahkan susulan percaya dengan alasan bahawa wang berkenaan akan dipulangkan kembali setelah masalah suspek selesai," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, perkara itu membuatkan mangsa berasa curiga dan kemudian menghubungi sendiri nombor telefon sebenar rakannya tersebut.

Iklan

"Rakan mangsa yang berada di luar negara telah mengesahkan bahawa tidak pernah menghubungi mangsa bagi urusan meminjam wang.

"Mangsa yang menyedari ditipu telah membuat laporan polis di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu," jelasnya.

Azli berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Kita menasihati masyarakat supaya sentiasa peka dan berwaspada serta membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan," katanya.