Panduan Ibnu Khaldun belajar bahasa Arab

Iklan
ANTARA yang ditekankan Ibnu Khaldun dalam mempelajari bahasa Arab adalah kemahiran mendengar yang baik. Foto CANVA/Gambar kecil: PROF MADYA DR SUERAYA

Kemahiran mendengar yang baik pacu pembelajaran bahasa lebih efektif

PEMBELAJARAN bahasa Arab yang efektif memerlukan penguasaan kemahiran-kemahiran bahasa yang baik untuk membuahkan hasil diingini.

Kemahiran bahasa yang dimaksudkan ialah kemahiran membaca, menulis, mendengar dan juga bertutur.

Iklan
Iklan

Namun antara keempat-empat kemahiran bahasa ini, apakah kemahiran bahasa yang sepatutnya didahulukan?

Artikel ini mengetengahkan pendekatan Ibnu Khaldun yang telah menggariskan teori-teori pembelajaran bahasa Arab di dalam kitabnya Muqaddimah.

Iklan

Ini bererti objektif akhir sesuatu pembelajaran bahasa ialah kebolehan berkomunikasi secara lisan dalam bahasa tersebut dengan baik.

Kebolehan bertutur bukan sekadar melantun suara sahaja, namun kebolehan bertutur yang baik seharusnya kedengaran seperti penutur asal dari segi sebutan, struktur ayat, gaya bahasa dan sebagainya.

Iklan

Kebolehan tersebut dinamakan sebagai malakah atau penguasaan.

Penguasaan yang dimaksudkan oleh Ibnu Khaldun ialah penguasaan yang telah sebati atau telah menjadi sifat semula jadi pelajar.

Dalam erti kata lain, pelajar mampu menggunakan bahasa dengan sebutan, struktur ayat, gaya bahasa yang sama seperti penutur asal dengan sangat baik.

Keadaan ini hanya boleh terjadi dengan pendedahan dan latihan yang banyak serta berterusan.

Persoalannya, bagaimanakah untuk mendapatkan tahap penguasaan sedemikian?

Dahulukan, titik beratkan kemahiran mendengar

Ibnu Khaldun mencadangkan kemahiran mendengar didahulukan dan dititikberatkan. Pelajar bahasa Arab perlu mendengar penutur asal bertutur dalam Bahasa Arab yang baik sebanyak mungkin.

Ini supaya mereka boleh memerhati dan belajar bagaimana penutur asal menyebut setiap huruf, menyusun kosa kata dalam sesuatu ayat, meluahkan perasaan, pendapat, kehendak serta keperluan dengan gaya bahasa dan konteks yang betul lalu menghafal dan mengulang-ulangnya.

PELAJAR bahasa Arab boleh menggunakan media bukan cetak untuk pelbagai pendedahan seperti video, kartun, lagu, cerita, filem, filem, kuliah, ceramah dan berita. Foto CANVA

Usaha untuk memiliki penguasaan sedemikian tidak terhenti di situ, pelajar mestilah menggunakan bahasa yang telah dihafal itu dengan kerap dan berterusan.

Secara ringkasnya untuk sampai kepada satu penguasaan yang tidak mampu digugat lagi, proses pembelajaran bahasa Arab perlu melalui tiga peringkat iaitu:

1 - Menerima bahasa dengan cara mendengar.

2 - Menyimpan bahasa dengan cara menghafal.

3 - Mengguna bahasa dengan latihan berbahasa Arab.

Setiap peringkat perlu dilakukan dengan kerap dan berterusan.

Pendekatan Ibnu Khaldun wajar diterjemahkan ke dalam kurikulum bahasa Arab untuk memacu pembelajaran bahasa Arab yang efektif.

Komponen kemahiran mendengar dalam kurikulum bahasa Arab perlu diperkuatkan dan diperkemaskan bagi memberi impak yang padu.

Pendedahan kerap, berterusan dari penutur asli

Pelajar bahasa Arab disemua peringkat perlu didedahkan dengan Bahasa Arab dari penutur asli secara kerap dan berterusan.

Ini boleh dilakukan sama ada secara formal dalam kelas atau melalui aktiviti ko-kurikulum di luar waktu kelas seperti dalam makmal bahasa.

Makmal bahasa berfungsi sebagai keperluan penting dalam setiap institusi yang menawarkan program bahasa khususnya bagi pelajar yang memperoleh bahasa Arab sebagai bahasa kedua di luar konteks asalnya seperti pelajar Malaysia yang mempelajari bahasa Arab di Malaysia.

Penguasaan bahasa Arab juga boleh dipertingkatkan melalui pelbagai aktiviti seperti bertutur, meluahkan fikiran dan pendapat, perbincangan, forum, debat, monolog, dialog, lakonan, pembentangan dan banyak lagi.

Memang benar bahawa persekitaran memainkan peranan penting untuk membangunkan bahasa baharu tetapi sekiranya persekitaran tidak dapat ditemui dengan mudah, pelajar boleh mencipta persekitaran yang diinginkan.

Salah satu caranya ialah dengan menggunakan media.

Pelajar bahasa Arab boleh menggunakan media bukan cetak untuk pelbagai pendedahan seperti video, kartun, lagu, cerita, filem, kuliah, ceramah, berita dan sebagainya.

Ini untuk memastikan bahasa yang diperoleh terpelihara dengan standard linguistik yang diingini.

APA yang penting bahasa Arab yang disampaikan adalah bersifat standard atau fushah, tepat dari segi tatabahasa dan tidak dicemari oleh bahasa lain. Foto CANVA

Ibnu Khaldun menggariskan kepentingan menggabungkan sumber-sumber Arab yang tulen, mantap dan asli, merangkumi ayat-ayat al-Quran, hadis, syair, prosa dan pelbagai bentuk sastera Arab, bukan sahaja untuk pengenalan tetapi untuk hafalan aktif oleh pelajar bahasa Arab.

Kesimpulannya, pendekatan malakah yang diperkenalkan oleh Ibnu Khaldun ini menekankan tujuan asas bahasa sebagai alat komunikasi.

Pendekatan ini menggariskan kitaran proses yang komprehensif, merangkumi pendengaran, hafalan dan amalan, yang boleh diringkaskan sebagai penerimaan (input), penyimpanan (storage) dan output (penghasilan).

Pendekatan malakah menekankan bahawa pembelajaran bahasa tidak seharusnya berhenti di peringkat simpanan sahaja malah perlu mencapai peringkat seterusnya kerana matlamat utamanya adalah untuk memenuhi tujuan komunikasi.

***PROF MADYA DR SUERAYA CHE HARON merupakan Pensyarah Jabatan Bahasa dan Literasi, Kulliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.