JOHOR BAHRU - Polis menahan seorang lelaki warga asing disyaki mengekori kenderaan yang dipandu seorang wanita yang tular di media sosial Rabu lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, pihaknya menerima satu rakaman video tular di media sosial memaparkan kejadian seorang wanita warga tempatan berumur kira-kira 28 tahun yang memandu kereta diekori oleh sebuah kereta dipandu seorang lelaki.
"Sekitar jam 1 tengah hari, Khamis, sepasukan polis dari unit ronda selatan (URS) Balai Polis Majidee telah mengesan dan menahan suspek.
"Suspek yang juga seorang warganegara asing berusia 35 tahun disyaki terlibat dalam kejadian mengekori dan mengganggu pemandu wanita tersebut.
Siasatan lanjut, katanya, suspek didapati telah melakukan kesalahan iaitu tinggal lebih masa di negara ini.
Raub berkata, suspek ditahan reman selama 14 hari mulai 23 Ogos hingga 5 September, untuk siasatan lanjut.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman jika sabit kesalahan denda tidak kurang RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Tambahnya, kes turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman jika disabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun.