‘Pemilihan parti lama lagi, menang pilihan raya dulu’

Iklan
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Foto SInar Harian/ROSLI TALIB

KUALA LUMPUR - Pimpinan UMNO diingatkan agar mengutamakan parti terlebih dahulu berbanding kepentingan peribadi dalam memastikan parti teras Melayu terbesar itu kembali menjadi dominan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka menegur ada pemimpin yang menjadi ‘batu api’ di peringkat bawah demi agenda sendiri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tidak ada pihak lain yang boleh membantu UMNO dalam mencapai hasrat itu melainkan orang parti sendiri.

"Kita mesti bantu diri sendiri dengan memperkuatkan parti semula. Ketepikanlah titik bengik (perkara remeh) di kalangan kita, di cawangan selesaikan masalah di cawangan.

Iklan

"Di bahagian, selesaikan secara bahagian. Begitu juga dalam majlis kerja tertinggi. Apa yang jadi masalah di bawah ini, sebab di atas (pemimpin) ini. Pemilihan parti lama lagi, menang dan bentuk kerajaan dulu, (jangan) jadi batu api kat bawah.

"Saya dah cakap semasa taklimat, tidak ada yang di atas kalau bukan kerana dukungan daripada bawah. Mari kita berazam, bertekad untuk memperkuatkan parti semula,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO Malaysia 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib-naib Presiden iaitu Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Tambah Ahmad Zahid, usaha-usaha untuk memastikan agar UMNO terus dominan dalam erti kata menguasai dan mempunyai kelebihan di tengah-tengah perubahan landskap amat penting.

Justeru, dalam memastikan UMNO kembali dominan daripada segi bilangan kerusi, semua UMNO bahagian yang Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kalah perlu merencana usaha untuk menawan semula kerusi-kerusi berkenaan.

"Kita juga mesti kuasai dalam kedudukan perundingan sekiranya keadaan memerlukan perkongsian dan mesti dominan dalam ideologi perjuangan iaitu mempertahankan keindukan Islam dan Melayu Bumiputera.

"UMNO juga perlu dominan dalam menawarkan dasar-dasar awam yang menjamin kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran negara.

"Faktor kedua dan ketiga telah pun kita lalui selepas PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) yang lalu. Kita berunding membentuk perkongsian serta menetapkan syarat-syarat kerjasama sehingga termeterainya perjanjian membentuk kerajaan Perpaduan,” jelasnya.

Ujar Zahid, keempat-empat faktor tersebut bukan sahaja berkait dengan soal kelangsungan parti tetapi mampu menjadikan UMNO sebagai penentu dalam soal pembentukan kerajaan.

Sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan katanya, UMNO tidak pernah disekat untuk memasang cita-cita besar.

"Kita berhak kembali dominan dengan jalan yang kita lakar kerana kita adalah parti yang bebas merdeka.

"Lontaran pandangan ini janganlah ditafsir sebagai keangkuhan. Sebaliknya ia adalah pendirian tegas, dalam kita mahu memastikan UMNO terus relevan. Pendirian ini juga bagi menjamin rakyat tidak diperjudikan dengan politik emosi atau sentimen yang merugikan,” jelasnya.