4,000 benih ikan, ketam dilepaskan di Merchang Wetland

Iklan
UMT dengan kerjasama Persatuan Kerangan-kerangan Malaysia dan Pejabat Perikanan Negeri Terengganu melaksanakan program pelepasan 4,000 benih ikan dan ketam di Merchang Wetland.

MARANG - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Persatuan Kerangan-kerangan Malaysia dan Pejabat Perikanan Negeri Terengganu melaksanakan program pelepasan 4,000 benih ikan dan ketam di Merchang Wetland pada Khamis.

UMT dalam satu kenyataan berkata, kolaborasi itu adalah salah satu langkah proaktif bagi memastikan kelestarian sumber perikanan di Malaysia selain memberikan manfaat ekonomi jangka panjang kepada komuniti nelayan di sekitar Merchang.

Iklan
Iklan

"Program ini merupakan salah satu usaha pihak persatuan dalam menjaga kelestarian alam khusus spesies 'krustasia' dan kerang-kerangan.

"Program berbentuk tanggungjawab sosial ini sebagai usaha menyokong kira-kira 50 ahli myKomuniti Perikanan (myKP) Merchang sebagai penggerak utama dalam mengembangkan potensi sosio ekonomi di kawasan berkenaan.

Iklan

"Sebanyak 2,000 anak benih ketam bakau serta 2,000 anak benih ikan siakap telah dilepaskan dan 50 pokok bakau ditanam di kawasan berkenaan," katanya.

Sebanyak 4,000 benih ikan dan ketam dilepaskan di Merchang Wetland pada Khamis.

Menurut kenyataan itu lagi, tujuan utama program tersebut adalah untuk membantu 50 nelayan tempatan dalam mempromosikan kelestarian sumber perikanan serta memperbaiki taraf ekonomi mereka.

Iklan

Katanya, Merchang Wetland, yang terletak di sepanjang Laguna Merchang dikenal pasti mempunyai potensi besar sebagai destinasi agropelancongan selain disokong oleh kekayaan ekologi dan sumber perikanan yang pelbagai.

Jelas kenyataan itu lagi, program dilaksanakan tersebut bukan sahaja memanfaatkan nelayan tempatan tetapi juga menyumbang kepada usaha pemuliharaan alam sekitar di kawasan berkenaan.