KUALA LUMPUR - UMNO akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) Islam di negara untuk mewujudkan gerakan yang dinamakan Rumpun Melayu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berkata, gerakan itu diwujudkan bagi memperkukuhkan agenda perkongsian kuasa induk Melayu dan Islam.
"Melalui gerakan ini, kita akan bersama-sama pertubuhan-pertubuhan yang memiliki semangat mempertahankan perkongsian kuasa.
"Kita mahu gerakan ini, sebagai wadah untuk memastikan agenda Melayu dan Islam menjadi teras dalam apa juga bentuk kerjasama yang hendak dijalinkan,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Jumaat.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dalam masa sama turut menyeru orang Melayu supaya kembali kepada politik kesederhanaan.
Menurutnya, orang Melayu juga diingatkan agar tidak terbuai dengan kelantangan pihak tertentu yang kononnya berjuang demi agaman dan bangsa.
"Kita insaf, UMNO bukan maksum sifatnya. Ada salah dan ada silapnya. Ada lemah dan ada kurangnya. Insya-ALLAH selagi mana kita ditakdirkan berkuasa, induk Islam dan Melayu tetap menjadi agenda utama demi kestabilan dan kerukunan negara,” katanya.
Beliau menambah, membina semula keyakinan rakyat terhadap politik sederhana amat mendesak ketika ini demi kebaikan bersama.
"Kepada ahli-ahli parti, kita perlu meletakkan kepercayaan terhadap usaha-usaha dan pertimbangan parti dalam mendepani pantasnya anjakan politik semasa yang berlaku,” ujarnya.