KUALA LUMPUR - UMNO Bahagian Kluang mengemukakan tiga nama untuk calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, 28 September depan.
Ketua Bahagian Kluang, Datuk Mohd Jais Sardi bagaimanapun berkata, nama-nama berkenaan tidak boleh disebut lagi.
Difahamkan, nama-nama yang akan diangkat sebagai calon ialah Ketua Bahagian, Naib Ketua Wanita dan Ketua Pemuda DUN itu.
"Kita akan hantar tiga calon, tapi tidak boleh sebutlah nama dia.
"Senarai calon merangkumi semua (Ketua Bahagian, Naib Ketua Wanita dan Ketua Pemuda DUN),” katanya semasa sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Jumaat.
Kerusi DUN Mahkota kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.
Bekas Ketua Wanita UMNO Johor itu sebelum ini dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi HEBHK kerana mengalami sesak nafas.
PRK DUN Mahkota merupakan PRK ke-10 yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.
Mengulas lanjut, Jais memaklumkan jentera di peringkat cawangan UMNO dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) sudah bersedia selepas satu minggu Sharifah Azizah meninggal dunia.
Ujarnya, Pakatan Harapan (PH) akan membantu jentera tersebut seperti mana UMNO menolong mereka di PRK Pulai dan Sungai Jeram sebelum ini.
"Peringkat Barisan Nasional (BN), kita dah tubuhkan jentera. Jadi, di peringkat UMNO dan BN Kluang sudah hampir bersedia untuk bekerja.
"Kita dah buat perbincangan dengan kawan-kawan di peringkat PH walaupun di peringkat awal, Amanah macam keras sikit tapi alhamdulillah sudah diselesaikan. Mereka juga akan sama-sama membantu kita,” tambahnya.