Wanita mengaku tidak bersalah gigit hidung jiran

Iklan
Seorang wanita mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggigit hidung jirannya, Januari lalu.

MELAKA - Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret Melaka pada Jumaat atas pertuduhan menggigit hidung jirannya, Januari lalu.

Tertuduh, Adrienne Liew Siew Wern, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret, Nor Syaliati Mohd Sobri selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, wanita itu didapati dengan sengaja menyebabkan cedera kepada jiran lelakinya yang berusia 40 tahun dengan cara menggigit hidungnya.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Bunga Raya 3, Taman Bunga Raya, Bukit Beruang, dalam daerah Melaka Tengah kira-kira jam 6 petang, 19 Januari lalu.

Iklan

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan

Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan RM8,000 terhadap tertuduh.

Iklan

Peguam, Cassian Anthony bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya yang masih bujang hanya bekerja sebagai pembantu farmasi dengan gaji bulanan RM3,500 dan perlu menanggung ibu yang menghidap kanser otak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan menetapkan 6 September depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Sementara itu, menurut sumber kejadian itu berpunca apabila tertuduh tidak tahan dengan bunyi bising kerja-kerja pengubahsuaian yang dilakukan jirannya itu.