Wanita misteri ketuk pintu rumah minta RM100

Iklan
Tangkap layar sekeping gambar wanita yang mendakwa meminta wang di sekitar Indera Mahkota dan terbaru di Taman Tas di media sosial Facebook pada Jumaat.

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Tular sekeping gambar wanita bertudung dan berpayung di media sosial mengetuk pintu rumah penduduk di beberapa lokasi di daerah ini bagi meminta wang.

Kemunculan wanita misteri itu dikongsikan di grup Facebook Kumpulan Warga Kuantan Official yang meminta orang ramai supaya berhati-hati dan menghubungi polis, sekiranya bertemu dengannya.

Iklan
Iklan

Perbuatan wanita tersebut yang didakwa meminta wang RM100 hingga RM150 mengundang rasa resah dan takut orang ramai.

Wanita itu dikatakan berlegar-legar di sekitar kawasan Indera Mahkota dan terbaharu dilihat muncul di Taman Tas.

Iklan

Beberapa pengguna media sosial mendedahkan, pernah menjadi mangsa selepas wanita tersebut berkunjung ke rumah mereka.

Suzyani Harun memberitahu, wanita berkenaan datang ke rumahnya pada Selasa lalu memperkenalkan diri sebagai Munirah dan meminta wang RM100.

Iklan

Katanya, dengan nada sedih, wanita yang mendakwa bekerja sebagai tukang cuci di sebuah hotel tersebut memaklumkan anak dan suaminya berada di rumah dan masih belum makan.

"Nak bagi RM10 tak nak, (dia) nak RM100 juga," katanya.

Seorang lagi pengguna media sosial, Saerah Jalil mendakwa pernah bertemu dengan wanita itu di Indera Mahkota.

"(Wanita itu) merayu-rayu mintak wang, cakap nak bawa anak sakit ke hospital," tulisnya di ruangan komen.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, tiada sebarang laporan diterima berhubung kes wanita tersebut setakat ini.

Beliau bagaimanapun mengingatkan orang ramai supaya melaporkan perkara berkenaan kepada balai polis berdekatan.

"Mohon untuk memaklumkan kepada balai yang berdekatan atau terus membuat laporan polis jika didatangi individu tersebut atau mana-mana individu yang berkemungkinan akan melakukan jenayah,” jelasnya.