KUALA LUMPUR - UMNO tidak akan bergerak solo dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang bagi mengelakkan berlaku pertindihan kerusi dengan parti dalam Kerajaan Perpaduan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebagai salah sebuah parti dalam kerajaan, kerjasama sesama parti wajar dilaksanakan dengan menghormati kerusi tradisi masing-masing.
Bagaimanapun menurutnya, Barisan Nasional (BN) tetap akan menggunakan logo sendiri dalam meneruskan agenda tersebut.
"Kita tidak bergerak solo, ertinya kita bekerjasama (dengan parti dalam Kerajaan Perpaduan) tapi menggunakan lambang kita sendiri.
"Ketika dalam BN, kita bekerjasama dengan 13 parti dalam BN. Kini kita menjadi salah satu komponen dalam Kerajaan Perpaduan.
"Oleh sebab itu, untuk mengelakkan pertindihan kerusi umpamanya atau mengelakkan jentera bertembung kerana pertindihan kerusi, maka kita harus bekerjasama," katanya ketika ditemui pemberita sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Jumaat.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai agenda UMNO untuk tidak bergerak secara solo bagi menghadapi pilihan raya.
Menerusi ucapan dasarnya, Zahid mempersoalkan sama ada pendekatan bergerak solo merupakan langkah terbaik dalam keadaan politik semasa, termasuk kebimbangan mengenai keupayaan UMNO dalam menguasai persepsi pengundi baharu.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, kerjasama dengan Kerajaan Perpaduandapat diterjemahkan menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang akan datang.
"PRK Mahkota mendapat persetujuan kedua-dua pihak iaitu menghormati kerusi yang dipegang sesebuah parti dengan menyerahkannya kepada parti berkenaan.
"Walaupun ada suara-suara yang menuntut kerusi itu," katanya.
Ditanya mengenai hubungan MIC dan MCA yang dikatakan mempunyai masalah dengan Pakatan Harapan (PH), Ahmad Zahid menyifatkan isu tersebut sebagai masalah lapuk.
"Saya fikir itu masalah yang telah berlalu, sekarang kita akan buktikan di DUN Mahkota bahawa kerjasama ini akan dapat dibuat berdasarkan segmen-segmen pengundi di Mahkota kerana di sana terdapat kira-kira 20,000 pengundi Cina dan 8,000 pengundi India,"katanya.