'Baliklah umi, tak kasihankah pada kami'

Iklan
Nurul Natasha Elias (tengah) menunjukkan gambar Marhaizuna. Foto Sinar Harian/ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU -"Baliklah umi, tak kasihankah pada kami.” Itu rintihan hiba empat beradik yang penuh pengharapan menanti kepulangan ibu mereka selepas lebih sebulan tidak pulang, sejak 18 Julai lalu.

Anak sulung, Nurul Natasha Elias Fadzil, 21, berkata, ibu mereka, Marhaizuna Mat Yunoh, 48, keluar dari rumah di Kampung Padang Banggu, Seterpa, di sini, dengan membonceng motosikal bersama seorang wanita dikatakan adik angkat ibunya itu untuk ke kedai serbaneka RM2 tidak jauh dari rumah mereka.

Iklan
Iklan
Nurul Natasha Elias (tengah) mengesat air mata ketika menceritakan ibunya yang tidak pulang sejak lebih sebulan lalu. Foto Sinar Harian/ADILA SHARINNI WAHID

"Ibu keluar dengan wanita yang kami hanya tahu sebagai adik angkatnya pada petang hari Khamis, dia bagaimanapun tidak pulang hingga sekarang.

"Kami tak tahu di mana dia berada ketika ini, kami sangat merindukannya hinggakan adik bongsu sakit dan dimasukkan ke hospital baru-baru ini.

Iklan

"Baliklah umi, kasihanlah pada anak-anak umi ini,” katanya sambil mengesat air mata ketika ditemui pemberita di rumah mereka di Kampung Padang Banggu, Seterpa, di sini, pada Jumaat.

Nurul Natasha Elias. Foto Sinar Harian/ADILA SHARINNI WAHID

Kata Nurul Natasha Elias, adiknya bongsunya, Nurul Dhui dimasukkan ke wad di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian, di sini, selama tiga hari akibat diserang asma sehari selepas kepergian ibunya.

Iklan

Gadis yang bekerja sebagai jurujual di sebuah syarikat menjual peralatan dapur itu kini mengalas tugas menjaga tiga adiknya, Fathurahnan A’alam Aisar, 14, Nurul Nahar Nadrah, 12, dan Nurul Dhui Safra, 9, sejak ketiadaan ibu mereka.

Marhaizuna. Foto Sinar Harian/ADILA SHARINNI WAHID

Ibu bapa empat beradik itu juga sudah bercerai pada Mac lalu namun bapa mereka, Fadzil Ismail,49, yang bekerja sebagai tukang gunting tetap menjalankan tanggungjawab menjaga anak-anak tersebut dengan mengambil dan menghantar tiga mereka yang masih bersekolah.

"Sebelum ini kami adik-beradik tinggal dengan bapa dan baru sahaja kembali tinggal dengan ibu.

"Kemudian, dua hari selepas itu, ibu keluar dari rumah tanpa membawa pakaian atau barangan peribadinya. Saya cuba menghubungi telefon bimbitnya tetapi tidak dijawab,” katanya.

Pesanan melalui WhatApps yang ditinggalkan Marhaizuna. Foto Sinar Harian/ADILA SHARINNI WAHID

Menurut Nurul Natasha Elias, ibu saudaranya ada memberitahu menerima WhatApps dari ibunya mengatakan akan mengirim wang dan belum dapat pulang ketika ini kerana mahu mencari pendapatan tetapi tidak dinyatakan lokasi keberadaannya.

Nurul Natasha yang bimbang akan keadaan ibunya itu sudah tiga kali membuat laporan polis, terakhir pada 15 Ogos lalu.

"Ibu tinggalkan rumah semasa saya berada di tempat kerja, kami tidak ada perselihan faham tetapi kami tahu dia mengenali seseorang di TikTok.

"Apa-apa pun keadaannya, kami sangat berharap dia kembali pulang ke pangkuan kami dengan selamat,” katanya.

Nurul Natasha Elias (tengah) Fathurahnan A’alam Aisar (kiri) dan Nurul Dhui Safra (kanan) menunjukkan laporan polis dan gambar ibu mereka. Foto Sinar Harian/ADILA SHARINNI WAHID
Nurul Natasha Elias (tengah) yang bersedih menunggu kepulangan ibu mereka. Foto Sinar Harian/ADILA SHARINNI WAHID