'Kerajaan perlu segera tubuh Majlis Media'

Iklan

SHAH ALAM - Kerajaan perlu segera menubuhkan Majlis Media atau sebarang platform yang boleh bertindak bagi menentukan sesuatu kandungan media sosial sama ada baik atau bercanggah dengan kod etika dan boleh dikenakan tindakan.

Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berkata, ia merupakan salah satu pendirian pihaknya berhubung isu utama berkaitan cadangan pelesenan platform sosial media dan pesanan internet oleh kerajaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Bersih dan Centre For Independent Journalism (CIJ) bimbang mengenai perkembangan kebebasan media hari ini khususnya melibatkan isu pelesenan itu lebih-lebih lagi apabila agenda reformasi masih perlahan dari pelaksanaan Kerajaan Madani.

"Antara lain pendirian kami adalah kerajaan perlu pastikan pembinaan kod etika dibuat secara inklusif, telus dan bertepatan dengan prinsip-prinsip kebebasan bersuara berasaskan standard antarabangsa yang mana sebarang sekatan bersuara harus memenuhi prinsip pengabsahan, keperluan serta setimpal.

Iklan

"Dalam masa sama, kerajaan juga perlu pastikan badan yang melaksanakan pemantauan kepatuhan kod etika terdiri daripada pelbagai pihak berkepentingan supaya ada ketulusan dalam sebarang keputusan dibuat tanpa campur tangan politik," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum itu, Bersih dan CIJ mengadakan pertemuan bersama Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri, Teo Nie Ching di pejabat kementerian pada Khamis.

Iklan

Pertemuan tersebut turut dihadiri pegawai utama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Tambah kenyataan itu, sebarang tindakan yang dilakukan tidak harus dibayangi motif politik bagi menekan mana-mana musuh politik sebaliknya fokus kepada isu keselamatan data, buli siber, penipuan dalam talian penganiayaan seksual kanak-kanak (CSAM) dan sebagainya.

"Pihak kami juga menuntut komitmen kerajaan untuk memansuhkan peruntukan-peruntukan yang bersifat drakonian seperti Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan [Akta 301], Seksyen 211 & 233 Akta Komunikasi dan Multimedia [Akta 588], Seksyen 505 Kanun Keseksaan [Akta 574] dan Akta Hasutan [Akta 15].

"Kami merakamkan penghargaan buat menteri dan Kementerian Komunikasi umumnya atas keterbukaan untuk mengadakan pertemuan ini dan akan terus bergerak sebagai badan semak serta imbang untuk memastikan kerajaan berada di landasan yang betul kepada agenda reformasi," jelasnya.