SHAH ALAM - Seramai 8.5 juta rakyat negara ini bakal menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 yang akan dikreditkan mulai 29 Ogos (Khamis) depan.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan berkata, bagi penerima baharu dan rayuan akan menerima bayaran mulai 18 September.
Menurutnya, penerima akan menerima bantuan tunai sehingga RM650 mengikut kategori kelayakan masing-masing.
"Penerima sedia ada dan penerima baharu mahupun rayuan yang berdaftar dalam pangkalan data STR akan menerima pembayaran STR Fasa 3 melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat.
"Status kelayakan STR dibuka untuk semakan mulai 29 Ogos 2024 dan soalan lazim boleh didapati di portal rasmi STR,” kata kenyataan itu Jumaat.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Belanjawan 2024, mengumumkan peruntukan STR ditingkatkan sebanyak RM2 bilion atau 25 peratus daripada RM8 bilion pada tahun 2023 kepada RM10 bilion yang memanfaatkan penerima yang meliputi hampir 60 peratus penduduk dewasa Malaysia.
Menurutnya, penambahan peruntukan bagi STR 2024 mencerminkan komitmen Kerajaan Madani untuk membantu meringankan cabaran kos sara hidup rakyat terutamanya keluarga di bawah kategori kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) terendah.
Mengulas lanjut, MoF berkata, kerajaan telah mengambil pendekatan baharu mulai tahun 2024 dengan membuka pendaftaran STR sepanjang tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan.
"Oleh itu, bilangan penerima yang layak dijangka terus meningkat pada tahun ini mengambil kira proses permohonan baharu dan kemas kini yang dijalankan sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini.
"Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan,” jelas kenyataan itu.