KOTA BHARU - Kerajaan perlu lebih agresif dalam melaksanakan langkah pencegahan bagi mengelak merebaknya koronavirus di negara ini.
Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan dilihat terlalu lambat bertindak dan tidak mustahil perkara yang ditakuti iaitu jangkitan tersebut boleh berlaku jika kerajaan tersilap langkah.
"Kerajaan perlu lebih agresif. Memang kita sambut baik tindakan kerajaan untuk menyekat pelancong dari China masuk ke negara ini memandangkan China sendiri sudah isytihar seluruh kawasannya adalah kawasan wabak.
"Kerajaan perlu ambil penilaian China ini, lebih baik tangguh dulu kemasukan mereka ke negara kita," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Terdahulu beliau yang juga Timbalan Presiden Pas menyampaikan kuliah Jumaat sesi kedua di Medan Ilmu, di sini.
Menurutnya, kerajaan perlu mengutamakan keselamatan negara dan jika ada rakyat Malaysia yang mahu pulang ke negara ini maka mereka perlu menjalani pemeriksaan yang lebih ketat.
Katanya, kerajaan juga perlu mengambil berat mengenai status pelajar China yang menuntut di Malaysia dan telah pulang ke Malaysia sempena cuti tahun baru.
"Mereka sekarang berada di China sebab balik bercuti, jadi saya harap kerajaan buat pemeriksaan lanjut bagi memastikan mereka yang balik itu tidak bawa sebarang virus ke kampus," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Koronavirus: Jumlah kematian di China meningkat 213
WHO isytihar koronavirus Wuhan sebagai kecemasan kesihatan global
Keputusan itu dilakukan selepas koronavirus Wuhan disahkan boleh merebak dari manusia ke manusia lain di luar dari negara China.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, kes jangkitan manusia ke manusia telah berlaku di Jepun, Jerman, Vietnam dan terbaru berlaku di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan kemampuan virus ini untuk merebak dengan lebih meluas.
Setakat pagi ini, lebih 8,100 kes positif koronavirus Wuhan dilaporkan seluruh dunia dengan 170 kematian. Virus ini pertama kali dikesan pada Disember tahun lalu di bandar Wuhan, China.