Selangor cipta sejarah raih emas futsal

Iklan
Aksi Kapten pasukan Selangor Syahir Iqbal Khan ketika menentang Perak. Foto Bernama

SELANGOR menafikan hasrat Sarawak untuk mencipta kejayaan di laman sendiri selepas melakar kemenangan 2-0 untuk merangkul pingat emas futsal Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Stadium Tertutup Kota Samarahan hari ini.

Ini merupakan kali pertama Selangor memenangi pingat emas futsal sejak acara itu diperkenalkan di Sukma 2014.

Iklan
Iklan

Pada final hari ini, beraksi di hadapan ribuan penyokong tuan rumah tidak menjejaskan fokus Selangor kendalian Qusmaini Rusli apabila mengejutkan Sarawak di awal permainan selepas Zulkifli Abu Hassan Zali menyumbat gol pembukaan pasukan pada minit pertama.

Tersentak dengan jaringan itu Sarawak di bawah bimbingan Faizal Zamri bangkit memperkemas permainan dalam usaha memburu gol penyamaan sambil Selangor mengekalkan intensiti permainan bagi mempertahankan kedudukan serta mencari gol kedua.

Iklan

Kekentalan dan kesungguhan yang dipamerkan pemain kedua-dua pasukan menyaksikan kedudukan 1-0 kekal memihak Selangor menuju wisel penamat.

Sedikit kesilapan di lewat permainan dilakukan pemain Sarawak, bagaimanapun membawa padah apabila bola dipintas Muhamad Syauki Ahmad Puad sebelum beliau melepaskan rembatan padu untuk meledak gol kedua Selangor sekali gus mengesahkan pingat emas pasukan.

Iklan

Kekalahan itu menyaksikan Sarawak terpaksa berpuas hati dengan pingat perak sementara gangsa menjadi milik Perak yang menumpaskan Pulau Pinang 5-3.

Sebagai rekod, kali terakhir futsal dipertandingkan pada Sukma adalah di Perak pada 2018. - Bernama