Ikrar baja rupanya seludup rokok, tembakau RM118.09 juta

Iklan
Anis Rizana (tiga dari kanan) menunjukkan antara rokok putih yang dirampas pihaknya ketika sidang akhbar di Wisma Kastam, Pulau Indah pada Jumaat.

KLANG - Mengikrar barangan sebagai baja, itu taktik digunakan sindiket penyeludupan yang terbongkar menerusi rampasan 15 kontena mengandungi rokok putih, kretek dan tembakau bernilai RM118.09 juta menerusi serbuan berasingan dekat Pelabuhan Klang sejak Julai lalu.

Keseluruhan kontena yang dirampas itu mengandungi lebih 150 juta batang rokok putih, rokok kretek serta 30 tan tembakau berjaya dirampas menerusi serbuan dijalankan Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zon Tengah.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, kesemua serbuan terbabit dijalankan berdasarkan hasil risikan dan maklumat yang dijalankan pihaknya.

"Serbuan pertama dijalankan melibatkan pemeriksaan 11 kontena di Kawasan Zon Bebas Pelabuhan Utara dan Zon Bebas Pelabuhan Barat dekat sini pada 23 Julai dan 12 Ogos.

Iklan

"Hasil pemeriksaan dalam kontena itu menemukan 114.26 juta batang rokok putih yang dipercayai tidak mempunyai permit import dianggarkan bernilai RM10.94 juta manakala duti dan cukai yang terlibat dianggarkan berjumlah RM65.322 juta," katanya.

Anis Rizana (tiga,kanan) menunjukkan antara rokok kretek yang dirampas pihaknya ketika sidang akhbar di Wisma Kastam, Pulau Indah pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar di Wisma Kastam, Pulau Indah dekat sini pada Jumaat.

Iklan

Menurutnya, operasi sama turut dijalankan melibatkan pemeriksaan tiga kontena mengandungi rokok kretek pada 12 Ogos lalu di Pelabuhan Utara.

"Pemeriksaan tiga kontena berkenaan menemukan 36 juta batang rokok kretek yang dipercayai tidak mempunyai permit import.

"Kesemua rokok kretek ini dianggarkan bernilai RM7.19 juta manakala duti dan cukai yang terlibat adalah dianggarkan berjumlah RM24.477 juta," katanya.

Tambahnya, siasatan mendapati rokok putih dan rokok kretek ini berasal dari Asia dan Eropah dengan menggunakan taktik sama iaitu mengikrar rokok yang diseludup ini secara tidak benar dalam dokumen barangan untuk import.

"Kesemua rokok ini dinyatakan sebagai baja iaitu amonium sulphate dan coated card," katanya.

Keseluruhan kontena yang dirampas itu mengandungi 150.26 juta batang rokok putih, rokok kretek serta 30 tan tembakau berjaya dirampas menerusi serbuan dijalankan Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Zon Tengah.

Menerusi sidang akhbar sama, Anis Rizana berkata, pihaknya turut berjaya merampas sebuah kontena mengandungi 30 tan tembakau pada 12 Ogos lalu.

"Kesemua tembakau ini dipercayai tidak mempunyai permit import yang sah selain semakan mendapati ia dibawa masuk dari sebuah negara Asia.

"Kesemua tembakau ini dianggarkan bernilai RM3.18 juta manakala duti dan cukai yang terlibat dianggarkan berjumlah RM6.98 juta," katanya.

Beliau berkata, kesemua kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967.

"Pengimportan rokok dan tembakau adalah tertakluk kepada permit import dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kastam sebagaimana yang digariskan dalam Butiran 66 Bahagian 1, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

"Orang ramai diminta agar sentiasa menyalurkan maklumat kepada JKDM dalam bersama memerangi jenayah penyeludupan ini," katanya.