KUALA LUMPUR - Pemimpin UMNO di semua peringkat perlu memberi penerangan jelas dan berfakta mengenai sejarah kerjasama antara parti politik di negara ini agar mudah difahami generasi muda.
Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Khairul Azwan Harun berkata, tindakan segera ini perlu diambil bagi menepis naratif salah yang dimainkan pembangkang mengenai kerjasama parti itu dengan DAP menerusi Kerajaan Perpaduan.
Sedangkan katanya, sejarah politik jelas membuktikan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terlebih dahulu bekerjasama dengan DAP tetapi hanya ‘UMDAP’ yang dijadikan bahan kempen oleh pihak lawan.
"Kalau kita lihat dan imbau kembali seawal 2008 iaitu selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12), Pas jauh lebih awal bekerjasa sama dengan DAP untuk tubuhkan kerajaan.
"Kemudian, pada PRU14, Bersatu pula bersama dengan DAP. Tetapi yang dimomokkan hanya UMDAP sehingga istilah ini dibenci oleh anak muda hingga mereka mula melemparkan cercaan, hinaan dan makian kepada kita (UMNO) yang bekerjasama dengan DAP yang menjadi parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH).
"Kalau perkara ini dilakukan, insya-ALLAH masa depan UMNO terus berada di landasan dan laluan yang betul kerana kita ada pemimpin pelapis yang bakal mewarisi parti ini,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Jumaat.
Khairul Azwan menambah, sejak pramerdeka lagi UMNO sememangnya sebuah parti yang sentiasa menjalin kolaborasi politik dengan parti-parti lain.
Ujarnya, tidak pernah lagi dalam sejarah UMNO secara sendirinya menubuhkan kerajaan tanpa ada kerjasama dengan parti lain.
Bagaimanapun katanya, dalam memilih rakan politik untuk bekerjasama UMNO tetap memastikan dasar parti tidak berubah terutamanya dalam mempertahankan Melayu, Islam dan Raja-Raja Melayu.