PUTRAJAYA - Satu penyelarasan tindakan antara semua agensi penguatkuasaan perlu dilaksana terutama bagi memerangi ketirisan dan kebocoran akibat kegiatan penyeludupan di sempadan.
Berucap di Majlis Amanat Bersama Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penguat kuasa di sempadan berdepan dengan risiko keselamatan ketika membanteras aktiviti penyeludupan.
"Perlu ada jaringan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Kastam Diraja Malaysia dan penguatkuasa KPDN.
"Tidak mungkin kita boleh selesaikan dengan hanya satu penguatkuasaan kerana berdepan kekuatan (sindiket) yang luar biasa, puluhan tahun untuk dirungkai dan menganggap tindakan (penguatkuasaan) mencabar kedudukan dia,” katanya pada Jumaat.
Turut hadir, Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali dan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar.
Tambah Anwar, sebarang isu berbangkit berkaitan penyelarasan itu perlu dibawa kepada menteri supaya dapat diselesaikan di peringkat Jemaah Menteri.
Selain itu, beliau berkata, agensi penguatkuasaan juga diberi kemudahan untuk memanfaatkan pusat latihan untuk kegunaan bersama.
"Saya boleh jamin, minggu depan akan bawa ke Jemaah Menteri untuk selaraskan agar ada kerjasama dengan badan lain di mana kemudahan itu dapat dimanfaatkan supaya penguat kuasa KPDN dapat gunakan.
"Oleh kerana rasional pusat latihan itu sangat mendesak, maka kita harus segerakan melalui peluang dan kemudahan sedia ada, kita pinjam daripada jabatan lain,” katanya.
Pada perkembangan berkaitan, Anwar menegaskan sebarang pelanggaran oleh penjawat awam perlu dihentikan.
"Betul saya berikan pengiktirafan kepada kejayaan saudara, tapi jangan nafikan berlaku pelanggaran dalam setiap jabatan, baik dalam kalangan orang politik, penjawat awam, sektor swasta atau penguat kuasa.
"Kita harus perbetulkan kelemahan kelompok kecil yang merosakkan imej kita kerana mereka melaksanakan tugas bertentangan dengan nilai keinsanan, moral dan akhlak, sebab itu ada pelanggaran hukum,” katanya.
Jelasnya, ketua jabatan di setiap daerah perlu melaporkan sebarang pelanggaran selaras dengan perincian Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diumumkan minggu lalu.
"Saya mahu ketua jabatan di setiap daerah, jabatan, bahagian, unit, pastikan kalau ada pelanggaran, dilapor dan sebab itu SSPA," katanya.
Pada majlis itu, Anwar turut melancarkan portal Ihsan Madani yang menjadi platform khusus untuk rakyat mengenal pasti inisiatif kerajaan yang boleh dimohon mereka.
Portal tersebut menjadi platform pusat sehenti untuk rakyat menyemak dan memohon bentuk bantuan yang disalurkan kerajaan.