SEREMBAN - Seorang wanita mencari ibu kandung kepada dua anak abang iparnya yang gagal dikesan sehingga kini.
Zurina Yahya, 43, berkata, keluarga tidak mengetahui abang ipar iaitu Ismail Yahya berkahwin lain sehinggalah selepas dia meninggal dunia pada 22 Oktober tahun lalu akibat kanser paru-paru.
Iklan
Iklan
"Ketika arwah abang ipar saya sedang sakit, dia sempat beritahu mempunyai dua orang anak, tapi malangnya saya tidak sempat bertanya lebih lanjut mengenainya.
"Kedua-dua anaknya iaitu Siti Aisyah berusia 11 tahun dan Muhammad Raiqal berusia 10 tahun sekarang ditempatkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Penor, Pahang atas perintah mahkamah selepas saya gagal mengesan ibu mereka," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, kanak-kanak berkenaan hanya mengetahui nama ibu mereka Zeni, namun tiada sebarang dokumen pengenalan diri disertakan.
"Penting untuk ibu mereka tampil untuk memudahkan urusan dokumentasi demi masa depan mereka. Saya tidak tahu lagi macam mana mahu cari ibu mereka yang juga isteri arwah abang ipar saya.
"Jadi saya amat berharap ibu mereka atau sesiapa yang mengenali mereka untuk hubungi saya di talian 019-6942191," katanya.