Armizan minta PM pertimbang tambah pegawai penyiasat MyCC

Iklan
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali ketika berucap pada Majlis Amanat Bersama Warga Penguat Kuasa KPDN dan Pelancaran Portal IHSAN MADANI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Jumaat. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Datuk Armizan Mohd Ali meminta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertimbang permohonan untuk menambah bilangan pegawai penyiasat Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi memerangi kewujudan kartel dalam negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata, komponen penguatkuasaan kementerian berkenaan turut mencakupi peranan MyCC, justeru wujud keperluan untuk membangunkan kapasiti suruhanjaya tersebut

Iklan
Iklan

"Untuk pengetahuan, sejak tertubuhnya MyCC pada 1 April 2011 hingga kini, kita hanya mempunyai 17 pegawai penyiasat. Kita mohon agar dipertimbang kaedah bagaimana kita dapat memperkukuh pasukan MyCC,” katanya ketika menyampaikan hasrat itu kepada Anwar, yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Warga Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Peluncuran Portal Ihsan Madani di sini pada Jumaat.

Iklan

Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Fuziah Salleh serta Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar.

Armizan juga memohon agar Bahagian Penguat Kuasa dapat diperkasakan dengan menaik taraf ia sebagai antara jabatan di bawah KPDN.

Iklan

Beliau berkata, penguat kuasa KPDN turut bertindak sebagai ‘barisan hadapan’ ketika pandemik Covid-19 antaranya bagi memastikan bekalan makanan dan keperluan lain mencukupi namun tidak tersenarai sebagai penerima elaun khas.

Elaun Khas Barisan Hadapan itu diberikan kepada mereka yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan Covid-19 antaranya petugas kesihatan, polis, tentera serta anggota bomba.

Pada majlis hari ini, Anwar turut melancarkan Portal Ihsan Madani yang merupakan usaha menyediakan platform khusus kepada pengguna bagi mendapatkan serta mengenal pasti pelbagai program dan inisiatif kerajaan dengan lebih cepat.

Portal itu sesuai diakses oleh semua rakyat Malaysia menerusi laman sesawang https://ihsanmadani.gov.my/ dan peranti mudah alih manakala maklumat yang diisi adalah bersifat umum serta tidak melibatkan sebarang maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan dan alamat rumah.

Antara inisiatif yang dipaparkan di portal itu ialah kluster kesihatan, pendidikan, perumahan serta pengangkutan dan pengguna hanya perlu mengisi maklumat asas sebelum dapat mengakses pautan laman sesawang kementerian atau agensi berkaitan. - Bernama