BANGKOK - Seramai tujuh pegawai berdepan perbicaraan berhubung kematian beberapa penunjuk perasaan penduduk Islam yang mati lemas dalam trak tentera semasa insiden Tak Bai, dua dekad lalu.
Pemberontakan di wilayah selatan Thailand yang mendapat jolokan 'pembunuhan beramai-ramai Tak Bai' pada 25 Oktober 2004 masih kekal dianggap insiden paling dahsyat dalam kalangan masyarakat Melayu yang menentang pemerintahan Thailand.
Semasa insiden di dalam trak itu, seramai 78 orang mati lemas selepas mereka ditangkap dan disusun rapat antara satu sama lain di belakang kenderaan tentera itu.
Menurut peguam keluarga mangsa, Ratchada Manuratchada, pegawai tersebut juga bakal berdepan perbicaraan terhadap tujuh kematian lain yang mana mangsa ditembak secara dekat semasa melakukan tunjuk perasaan untuk membebaskan beberapa tahanan lain.
Pada Jumaat, Mahkamah Narathiwat menerima petisyen yang dikemukakan keluarga mangsa untuk mendakwa tujuh pegawai kerana membunuh dan cubaan membunuh.
Keputusan itu dibuat dua bulan sebelum statut kes tersebut akan tamat iaitu 20 tahun selepas insiden menyayat hati itu.
"Mahkamah telah bersetuju untuk membawa kes itu untuk dibicarakan.
"Ini adalah kes bersejarah di negara kita yang akan memutuskan sama ada bagaimana pihak berkuasa melayan orang awam dengan sewajarnya," kata Ratchada.
Setakat ini, tiada anggota pasukan keselamatan Thailand pernah dipenjarakan kerana terbabit dalam pembunuhan di luar undang-undang Thailand atau melakukan penyeksaan di wilayah 'selatan dalam'.
Tujuh defendan termasuk pegawai kanan tentera dan ahli politik.
Insiden itu berlaku semasa Thaksin Shinawatra menjadi Perdana Menteri manakala Prawit Wongsuwan menjawat jawatan Ketua Tentera Thailand.
Perbicaraan untuk pengakuan itu dijadualkan berlangsung pada 12 September depan. - AFP