[VIDEO] Tiram jadi sumber pendapatan keluarga

Iklan

KOTA BHARU - Seorang suri rumah di Kampung Kemasin, Bachok menjadikan tiram sebagai sumber menambah pendapatan keluarga kerana makanan laut itu kini semakin digemari masyarakat.

Siti Fatimah Amir Zada, 26, mencari tiram sejak kecil namun kini tiram atau nama saintifiknya, ostreidae semakin popular dan ramai pemilik kedai makan serta restoran sudah mempelbagaikan hidangannya selain dimakan mentah.

Iklan
Iklan

Ibu kepada dua anak berusia 2 tahun dan 10 bulan itu mencari tiram di muara sungai Pantai Impian kira-kira dua kilometer dari rumahnya.

"Menu tiram pernah tular di media sosial satu ketika dahulu menyebabkan ramai yang cuba mendapatkannya namun tiram lebih enak dimakan sebaik sahaja dinaikkan dari muara," katanya ketika ditemui di lokasi mencari makanan laut itu.

Iklan
Tiram yang melekat pada simen perlu menggunakan pahat kerana terlalu keras.

Menurut Siti Fatimah, setiap hari dia dapat mencari sehingga 30 kilogram tiram bergantung pada kejernihan air kerana hidupan itu berada di dasar muara atau melekat pada tukun.

"Bagi memudahkan kami mengambilnya, saya menggunakan bahan terbuang seperti raga yang berfungsi sebagai tukun dan tiram akan melekat di situ," katanya lagi.

Iklan

Siti Fatimah memberitahu, isi tiram lebih tebal dan manis pada musim kemarau berbanding waktu hujan.

Raga yang berfungsi sebagai tukun membantu Siti Fatimah mendapat lebih banyak tiram

Setakat ini katanya, ramai pelanggan berpuas hati kerana dia terus menjualnya bagi mengelakkan tiram bertukar tawar dan kurang enak.

Anak bongsu daripada enam beradik itu akan keluar mencari tiram dan dibantu suami, Muhamad Fakrul Hisyam Sahabuddin, 31, kira-kira jam 8 pagi atau 5 petang kerana waktu itu air lebih jernih dan tidak pasang.

"Alhamdulillah, sambutan terhadap tiram ini sangat menggalakkan malah semakin ramai menggemarinya terutama trend menikmati tiram yang diperah lemon atau diletak sambal cili.

"Selain itu tiram juga enak dimasak sambal, sebagai lauk dalam mi segera dan hidangan lain mengikut penggemarnya," katanya.

Isi tiram yang tebal lebih enak dimakan sebaik sahaja dinaikkan dari muara sungai

Ujar Siti Fatimah, selepas berkongsi melalui kumpulan WhatsApp dan media sosial lain, dia mendapat permintaan tinggi bukan sahaja daripada penduduk tempatan malah dari luar termasuk Kuala Lumpur, Kedah dan Selangor.

Siti Fatimah berkata, luka di tangan dan kaki merupakan cabaran mencari tiram kerana kulitnya sangat keras dan tajam.

"Ada di antara pencari tiram memakai but atau kasut ketika memasuki muara sungai selain menggunakan sarung tangan bagi mengelakkan luka," katanya.

Siti Fatimah menunjukkan tiram yang dicari di sungai Pantai Impian.

Bagaimanapun katanya, ada tiram yang melekat pada bahan terbuang di dasar sungai memerlukan pahat kerana terlalu keras jika menggunakan tangan.

"Hidupan sungai ini yang tidak spesifik dalam satu bentuk sahaja menyukarkan kami menariknya jika melekat pada bahan terbuang atau tukun di dasar sungai," katanya.