NEW DELHI - Kes seorang doktor pelatih di Kolkata mangsa pemerkosaan yang dibunuh kejam beberapa minggu lalu mendorong rakyat di India turun ke jalanan untuk menzahirkan bantahan terhadap keganasan seksual yang terus berleluasa walaupun pembaharuan undang-undang dan hukuman dilaksanakan.
Insiden menggemparkan yang turut mendapat perhatian komuniti antarabangsa itu telah mencetuskan gelombang kemarahan di seluruh negara di mana lebih sejuta profesional perubatan juga nekad melakukan mogok.
Gerakan protes itu juga disertai ahli politik wanita selain penyokong kelab bola sepak yang menyatakan solidariti bagi menuntut hukuman yang lebih tegas ke atas pelaku.
Antara tuntutan mereka adalah menggesa persekitaran kerja lebih selamat terutamanya untuk doktor wanita.
Mayat mangsa berusia 31 tahun itu ditemui dalam keadaan menyayat hati di samping pelbagai kesan kecederaan di dewan seminar di Hospital dan Kolej Perubatan RG Kar.
Hasil bedah siasat mengesahkan berlaku serangan seksual ke atasnya.
Susulan demonstrasi besar-besaran itu, Mahkamah Agung mengarahkan penubuhan pasukan khas untuk mengkaji aspek tuntutan tersebut.
Hakim mahkamah berkenaan turut mencadangkan supaya pasukan petugas mempertimbangkan langkah pembaharuan secara menyeluruh termasuk mempertingkatkan keselamatan di institusi perubatan, bilik rehat berasingan untuk staf wanita, liputan meluas sistem kamera litar tertutup (CCTV) dan penubuhan panel pekerja bagi menjalankan audit keselamatan pada setiap suku tahun.
"Jika wanita tidak berasa selamat di tempat kerja, ia seperti kita menafikan syarat asas kesetaraan,” kata D Y Chandrachud yang mengetuai panel tiga hakim.
Aktivis mengatakan bahawa insiden terbaharu itu jelas menunjukkan bagaimana golongan wanita di negara Asia Selatan tersebut terus menjadi mangsa keganasan seksual walaupun undang-undang yang lebih ketat diperkenalkan setelah insiden rogol beramai-ramai dan pembunuhan di New Delhi pada 2012.
Pada Selasa, suspek telah dihadapkan di Mahkamah Tinggi Kolkota setelah seorang lelaki yang bekerja di kompleks perubatan sama ditahan pihak berkuasa.
Proses perbicaraan di mahkamah berkenaan turut diawasi oleh Mahkamah Agung.
Biro Siasatan Pusat (CBI) juga telah mengemukakan laporan perkembangan siasatan itu kepada mahkamah.
Dalam perkembangan berkaitan, sebahagian doktor telah kembali bertugas setelah mengadakan mogok selama 11 hari.
Tetapi, tunjuk perasaan masih berterusan di Kolkata apabila sekumpulan peserta protes masih berhimpun dan melaungkan slogan mengutuk perbuatan tidak berperikemanusiaan itu. (Sumber: AFP)
KANUN SIVIL SERAGAM BELA WANITA?
Sementara itu di GUWAHATI, pihak berkuasa di negeri Assam memperkenalkan rang undang-undang (RUU) yang menghendaki penduduk Muslim mendaftarkan pernikahan dan perceraian mereka, di bawah langkah bertujuan untuk menghentikan perkahwinan kanak-kanak.
RUU tersebut bagaimanapun ditentang aktivis kerana didakwa sebagai satu bentuk serangan terhadap hak golongan minoriti tersebut.
Pemerintah negeri diketuai Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi memaklumkan RUU tersebut akan dibentangkan ketika sesi Parlimen akan datang.
"Ia dapat memberi perlindungan dan manfaat besar terutamanya kepada wanita serta menghapuskan trend kanak-kanak perempuan bawah umur yang dipaksa berkahwin,” kata Ketua Menteri Assam, Himanta Biswa Sarma.
Pada awal bulan lalu, Modi memaklumkan beliau mahu meneruskan Kanun Sivil Seragam (UCC) atas alasan mahu menyeragamkan undang-undang tanpa mengira agama dan kepercayaan komuniti.
Tetapi, kebanyakan komuniti minoriti terutamanya Muslim bimbang UCC akan mencerobohi hak agama mereka memandangkan golongan tersebut telah ditindas dan menjadi sasaran Islamofobia puak nasionalis. (Agensi)