AKSI final Piala FA 2024 yang menemukan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC, turut menarik perhatian beberapa pimpinan politik dari sekitar negeri.
Malah, majoriti mereka melihat sayembara itu bakal memihak kepada skuad Harimau Selatan berdasarkan kepada prestasi semasa.
Bagi Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, pihaknya meramalkan skuad kendalian Hector Bidoglio itu menang 2-0 pada aksi final berkenaan.
Malah ADUN Bukit Pasir turut yakin aksi final kali ini akan diselesaikan dalam tempoh 90 minit permainan.
"Saya juga ramalkan gol-gol JDT dijaringkan oleh penyerang, Bergson (Da Silva) dan satu gol lagi dijaringkan oleh Arif Aiman (Mohd Hanapi),” katanya kepada Sinar Harian.
Pendapat sama turut disuarakan ADUN Simpang Jeram, Ir Nazri Abdul Rahman yang meramalkan JDT menang bergaya, 3-1 ke atas Selangor FC.
Menurutnya, berdasarkan prestasi semasa, JDT dilihat berada pada ‘kelas’ dan landasan yang terbaik untuk mempertahankan trofi yang dimenangi musim lalu itu.
"Saya juga ramalkan JDT menang 3-1 dan perlawanan akan tamat dalam 90 minit.
"Kebiasaannya... di dataran Taman Mas, ada dianjurkan 'big screen' untuk perlawanan akhir ini,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat berkata, skrin besar bagi menyaksikan aksi final berkenaan akan diadakan di padang terbuka PPR Melana Indah, Perling.
Katanya, program akan bermula dengan solat Isya’ berjemaah sebelum semua hadirin akan tertumpu ke kawasan padang terbuka berkenaan.
"InsyaaALLAH, saya ramalkan JDT menang final kali ini. Ramalan saya 3-1 dan saya juga rasa perlawanan ini akan tamat dalam 90 minit.” katanya.