Tanah jerlus Masjid India: Pasukan penyelamat atur gerak di hari kedua

Iklan
Operasi SAR seorang wanita warga India dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini diteruskan pada Sabtu.

KUALA LUMPUR - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga India dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini diteruskan pada Sabtu.

Kelihatan pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berada di lokasi seawal jam 8 pagi.

Anggota polis turut berada di lokasi kejadian seawal jam 8 pagi.

Iklan
Iklan

Pemantauan awal telah dilakukan pasukan penyelamat di lokasi selain kawalan ketat dengan menempatkan beberapa anggota polis di laluan masuk.

Turut berada di lokasi kejadian ialah Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman.

Anggota bomba dan penyelamat melakukan pemantauan di lokasi kejadian.

Iklan

Lebih 20 petugas media juga berada di lokasi bagi melaporkan situasi terkini insiden terbabit.

Sebelum itu, operasi SAR terpaksa ditangguhkan sementara pada 12.30 tengah malam, Sabtu selepas pencarian dilakukan hampir 17 jam.

Anggota polis memantau lokasi kejadian.

Iklan

Pasukan SAR turut berdepan cabaran iaitu arus deras dan terdapat gas bawah tanah selain air kumbahan yang boleh membahayakan anggota penyelamat.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan kejadian seorang wanita yang dilaporkan hilang selepas menjadi mangsa tanah jerlus sedalam kira-kira lapan meter di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Pita keselamatan dipasang di lokasi kejadian bagi sebagai langkah keselamatan.

Laporan kejadian itu diterima JBPM Kuala Lumpur pada jam 8.22 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dan BBP Hang Tuah dikejarkan ke lokasi kejadian.

Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) dan Unit Pengesan (K9) JBPM turut dikerah ke lokasi kejadian.

Mangsa yang dikenali sebagai Vijayaletchumy berusia 48 tahun dikatakan melancong ke negara ini bersama beberapa ahli keluarganya sejak dua bulan lalu dan sepatutnya pulang ke negara asal pada Sabtu.