JUARA edisi 2022, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam membuktikan status pasukan pilihan apabila mara ke perlawanan akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 tahun (B-18) 2024 pada Selasa ini.
SMK Shah Alam kendalian Mohamad Shahrul Hisham Khasim mara ke final kedua dalam tempoh tiga tahun selepas menjinakkan naib juara Piala Sumbangsih yang juga finalis dua edisi sebelum ini SMK Dato' Harun, asuhan Mohd Zulfadli Mohamad Ali, 2-0.
Vincenzo Oliveo D'dozzel muncul wira pasukan dari Shah Alam itu apabila meledak dua gol setiap babak di padang Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Seksyen 28 bagi membolehkan pemenang derbi Pusat Latihan Daerah (PLD) tersebut berdepan SMK TTDI Jaya di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Mengulas mengenai kemenangan itu, Shahrul Hisham mengakui berdepan pasukan berpengalaman seperti SMK Dato' Harun bukan sesuatu yang mudah tambahan pula setelah lawan ketinggalan pada minit ke-23.
"Kebangkitan pasukan lawan bagi mencari gol penyamaan hampir membuahkan hasil dengan beberapa percubaan bahaya yang dilakukan, membuatkan barisan pertahanan SMK Shah Alam sedikit tertekan.
"Alhamdulillah, kapten pasukan Muhammad Hadif yang juga penjaga benteng terakhir SMK Shah Alam berjaya menenangkan semua pemain dan kembali bermain mengikut strategi yang dirancang pasukan.
"Hasilnya pemain berjaya mencipta umpanan bagi membolehkan Vincenzo meledak gol kedua minit ke-59 yang akhirnya mematikan semangat juang pasukan lawan," katanya.
Sementara itu, Shahrul Hisham menyifatkan kemaraan SMK Shah Alam adalah hasil daripada sokongan dan kerjasama pentadbir serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah.
"Sokongan padu Puan Tuan Saripah Nor Riha Tuan Jaafar dan Yang Dipertua PIBG Norliza Sahib, menjadi tulang belakang kepada pasukan SMK Shah Alam dalam memastikan agar pemain-pemain terus mencapai kecemerlangan dalam bidang sukan yang diceburi," katanya.