Norza letak jawatan Presiden BAM

Iklan
Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (tengah) bercakap pada Mesyuarat Majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara pada Sabtu. Foto Bernama
[DIKEMAS KINI] TAN Sri Mohamad Norza Zakaria mengotakan janjinya pada Mei lalu untuk meletakkan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkuat kuasa pada Sabtu.

Susulan perkembangan tersebut jawatan presiden dipangku Timbalan Presiden 1 BAM, Datuk V Subramaniam sehingga pemilihan Exco baharu yang dijadual antara April hingga Jun tahun depan.

Sejak memimpin badan induk badminton negara pada April 2017 Mohamad Norza turut berkongsi momen manis yang tidak mungkin dapat dilupakan ketika beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik muncul juara dunia pada 2022.

Beliau berkata, kejayaan tersebut sekali gus menamatkan penantian Malaysia sejak 45 tahun pada kejohanan dunia.

"Manis saya boleh katakan di Tokyo, menang kejohanan dunia dan saya berguling-guling di lantai stadium. Itu satu perkara besar selepas 45 tahun. Saya sentiasa katakan dengan memenangi kejohanan dunia, kita memperbaiki sejarah.

"Sebab kalau kata kamu kuasa badminton tapi tak pernah menang kejohanan dunia, kamu tak boleh kata kamu kuasa badminton. Sama juga pingat emas, kita perlu buru dan terus berusaha untuk dapatkannya. Walaupun saya tak ada, Rexy Mainaky (Pengarah Kejurulatihan ABM) akan bawa emas," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis BAM kali ketiga bagi tahun 2024 di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Sabtu.

Ia menjadi mesyuarat terakhir yang dipengerusikan Mohamad Norza selepas memegang jawatan tersebut selama tujuh tahun.

Di sebalik momen manis itu, Mohamad Norza turut berkongsi kenangan pahit yang menjadi pengalaman berharga buat dirinya.

"Pahit apabila orang menyalah ertikan apa yang kita buat. Orang ingat kita buat untuk suka-suka, nak 'glamor' tetapi kita buat (supaya) nak tentukan kuasa badminton itu kekal di tangan Malaysia dan setiap hari mesti meningkatkan sistem kita.

"Kita tak boleh kata, kita nak pertingkatkan tetapi tak ada proses untuk meningkat dan proses itulah yang kita buat. Proses juga kadangkala memerlukan pengalaman pahit atau tindakan tegas yang mungkin akan menyebabkan kita 'kena'.

"Perasaan 'kena' ini, sampai hari ini saya terima. Sebagai presiden BAM, saya tak ada rasa menyesal. Saya sudah lakukan yang terbaik dan cuba terbaik dan berikan terbaik. Harap, pimpinan seterusnya dapat memastikan badminton masih sebagai satu kebanggaan buat Malaysia," katanya.

Mohamad Norza turut berkongsi pembaharuan yang dibuat ke atas BAM termasuk menjadi persatuan sukan pertama yang mempunyai caruman PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial) dan EPF (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja).

"Pada tahun sama, kita mempunyai ABM, rumah kepada 220 pemain termasuk remaja bawah 18 tahun. Ini penting untuk perkembangan atlet kita. BAM juga menerima tajaan Petronas dan Yonex berjumlah RM55 juta.

"Saya harap semua pemegang taruh menyokong kepimpinan seterusnya di bawah Datuk Subramaniam. Saya mempunyai kepercayaan penuh kepada beliau dan pengalaman yang ada untuk memangku jawatan presiden," katanya.

Mohamad Norza sebelum ini mengumumkan akan melepaskan jawatannya pada hujung tahun lalu tetapi 'dipujuk' oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang meminta beliau meneruskan tugasnya sehingga tamat Sukan Olimpik Paris 2024.