TANJUNG MALIM - Kesemua 21 mangsa yang terperangkap susulan kejadian kepala air di Risda Eco Park dekat Ulu Slim berjaya diselamatkan pada Sabtu.
Ketua Zon 4, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Khairil Adli Zakaria, jumlah itu melibatkan 18 pengunjung, dua penduduk tempatan dan seorang kakitangan Risda berjaya dikeluarkan.
"Mangsa melibatkan 14 orang dewasa dan tujuh kanak-kanak diselamatkan dalam operasi berlangsung selama empat jam hasil kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan badan bukan kerajaan (NGO).
"Kesemua mangsa diselamatkan dengan menggunakan kaedah merentasi 'highline' Sungai Gelinting berikutan satu-satunya jambatan menghubung ke lokasi berkenaan runtuh," katanya ketika ditemui di sini.
Menurut beliau, sebuah bot 'rafting' turut digunakan bagi menyelamatkan tujuh kanak-kanak tersebut untuk merentasi sungai.
"Pemeriksaan awal mendapati kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan diserahkan kepada pihak Risda untuk tindakan selanjutnya," katanya.