PUTRAJAYA - Politik Malaysia memerlukan pemimpin veteran dan anak muda supaya menjadi gandingan hebat untuk berbakti kepada negara.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kedua-dua generasi tersebut perlu diberi peluang untuk bekerjasama bagi mengimbangi politik di negara ini.
Menurutnya, perkhidmatan pemimpin dalam politik Malaysia tidak mengira latar belakang dan peringkat umur.
"Pada masa sama juga, kita perlu anak muda yang berani, berfikiran di luar kotak, kreatif dan berinovatif.
"Saya rasa gandingan ini merupakan gandingan terbaik dan saling melengkapi antara muda dan tua,” katanya semasa sesi Temu Mesra Penulis di kedai buku Popular di pusat beli-belah, di sini pada Sabtu.
Naskhah bertajuk Jalan Tegak merupakan karya keluaran Buku Umum, Kumpulan Karangkraf yang mula berada di pasaran sejak awal Jun lalu.
Tambah Syed Saddiq, realiti politik kini memerlukan individu untuk bertindak bagi memperbaiki hala tuju negara.
Ujarnya, kumpulan politik lebih muda perlu bertindak sekarang supaya negara bakal diwarisi dengan lebih baik, bermaruah dan berintegriti.
"Saya harap ia (buku Jalan Tegak) dapat membuka mata anak-anak muda.
"Masa depan kita, masa depan negara ini akan diwakili dengan anak muda kini,” tambahnya.