Sanusi kemudi bot, ketuai perarakan konvoi bot Merdeka

Iklan
Sanusi menyemudi bot menyelusuri Sungai Kedah sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67.

ALOR SETAR - Hampir 80 bot yang dihias bendera Jalur Gemilang dan Kedah berarak menyusuri Sungai Kedah sejauh 17 kilometer (km) pada Sabtu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, program konvoi bot anjuran Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Suka Menanti dan Anak Bukit itu dilaksanakan bersama masyarakat setempat meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-67.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, konvoi bot Merdeka menyelusuri Sungai Kedah bermula di Kampung Seberang Anak Bukit terbabit mendapat sambutan dan sokongan ramai rakyat Kedah.

"Kita buat program ini sempena dengan Sambutan Kemerdekaan kali ke-67 dengan berarak dalam air.

Iklan
Konvoi Bot Merdeka berarak sejauh 17 km tiba di Muzium Negeri Kedah.

"Jadi, ini kali pertama kita buat program ini.Saya harap program seperti ini akan dapat diadakan lagi (masa akan datang). Hari ini ada 70, 80 bot. Kalau kita buka (penyertaan), saya rasa boleh pergi (sehingga) ratus-ratus,"katanya.

Beliau berkata sedemikian berucap pada Majlis Pelancaran Konvoi Bot Merdeka Nelayan Sungai Kedah-Sungai Anak Bukit di Kampung Seberang Anak Bukit, di sini, pada Sabtu.

Iklan

Sebelum itu, Sanusi turut menunjukkan kecekapan beliau mengemudi bot menyelusuri sungai bermula dari Seberang Anak Bukit menuju Muzium Negeri Kedah.

Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Rashidi Razak dan ADUN Derga, Muhammad Amri Wahab.

Muhammad Sanusi berkata, Sungai Kedah merupakan sungai penting dan bernilai sejarah,malah menjadi nadi pengangkutan utama dahulu.

Sebahagian bot menyertai Konvoi Bot Merdeka Nelayan Sungai Kedah-Sungai Anak Bukit di Kampung Seberang Anak Bukit, di sini, pada Sabtu.

Sehubungan itu, beliau berharap, Sungai Kedah akan menjadi produk pelancongan utama di Bandaraya Alor Setar, dan juga Kedah pada masa akan datang.

Sementara itu, Exco Pertanian, Perladangan, Pengangkutan Kedah, Dzowahir Ab Ghani berkata, rakyat Kedah menunjukkan rasa cinta kepada negara melalui cara tersendiri dengan perarakan bot menyelusuri Sungai Kedah.

Beliau yang juga ADUN Suka Menanti berkata, kebiasaannya orang awam melakukan konvoi Merdeka melalui jalan darat, namun mereka cuba mencipta kelainan melalui jalan air.

Dzowahir menyifatkan, inisiatif berkenaan dilihat bertetapan dan sesuai dengan sejarah kampung di tepi Sungai Kedah yang menjadikan bot sebagai pengangkutan utama satu ketika dahulu.

"Insya-ALLAH, kita berhasrat menjadikan program konvoi bot Merdeka sebagai acara tahunan di Kedah," katanya.