IPOH - Suami isteri warga emas maut selepas van dinaiki terbabas dan melanggar tembok batu di Jalan Kuala Kangsar berhampiran sebuah syarikat jual beli kenderaan di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian jam 10.46 malam itu, Amiruddin Abdullah, 75, dan isteri, Teh Jamaliah Mat Ali, 72, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Kejadian dipercayai berlaku semasa pasangan berkenaan bersama menantu dan anak perempuan pulang selepas menikmati makan malam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, menantu mangsa berusia 52 tahun yang memandu van mengalami cedera di bahagian kaki.
Menurutnya, anak perempuan pasangan itu berusia 49 tahun dan bekerja sebagai ejen insurans pula cedera di bahagian paha kanan, tangan kiri dan luka dahi serta kening.
"Keadaan itu menyebabkan kenderaan terbabit terbabas dan melanggar tembok di kiri jalan," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, mangsa yang maut telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.
Katanya, dalam kejadian itu, kenderaan terbabit mengalami kerosakan remuk bahagian hadapan dan tepi kanan.
"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Saksi kejadian yang ditemui memaklumkan telah melihat tiga daripada mangsa tercampak keluar dari kenderaan dinaiki.
Pengawal keselamatan, S Terryshaan, 32, berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang melakukan tugas ronda di pusat jualan kereta sebelum terdengar bunyi dentuman kuat dari arah jalan.
"Saya lihat pak cik cedera di bahagian penumpang hadapan manakala tiga yang lain berada di luar kereta.
"Semasa saya dan rakan bantu pak cik dan mak cik, mereka masih bernafas namun hanya diam sahaja. Saya cuba panggil tetapi tiada tindak balas," katanya.