KUALA LUMPUR - Pasar malam lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) ditutup pada Sabtu berikutan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini.
Unit Media Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan, penutupan operasi itu bagi memberi laluan kepada usaha mencari mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini.
Menurutnya, acara Program Santai Seni @ TAR yang diadakan pada Ahad turut ditunda.
"Pasar Malam Lorong Tuanku Abdul Rahman pada hari ini (Sabtu).
"Dimaklumkan juga Program Santai Seni @ TAR yang diadakan pada Ahad minggu kedua dan keempat turut ditunda," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Katanya, penundaan kedua-dua aktiviti tersebut mengambil kira aspek keselamatan peniaga.
Pada Jumaat, seorang wanita warga India berusia 48 tahun terjatuh dan tertimbus akibat tanah jerlus di lokasi kejadian.
Setakat ini, usaha pencarian mangsa diteruskan memasuki hari kedua.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman berkata, operasi pencarian mangsa insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India memfokuskan enam lurang kumbahan.
Enam lurang kumbahan itu di hadapan Wisma Yakin, Jalan Melayu, persimpangan Jalan Melayu, Dataran Merdeka, Bank Pertanian berhampiran Lebuh Pasar dan Jalan Kinabalu.