UMNO Sabah siap sedia hadapi PRN, sahut cabaran kembali dominan di Sabah

Iklan
UMNO Sabah sudah bersiap sedia menggalas dan menyahut cabaran pucuk pimpinan parti itu untuk BN menang besar dan UMNO kembali menjadi kuasa dominan dalam kerajaan, pada PRN Sabah akan datang. Gambar kecil: Bung Moktar

KUALA LUMPUR - UMNO Sabah sudah bersiap sedia menggalas dan menyahut cabaran pucuk pimpinan parti itu untuk Barisan Nasional (BN) menang besar dan UMNO kembali menjadi kuasa dominan dalam kerajaan, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, jentera parti melaksanakan gerak kerja sejak dua tahun lepas, dengan turun padang melakukan jelajah dan persiapan di semua peringkat termasuk bahagian dan cawangan, melibatkan sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.

Iklan
Iklan

"Apa pun saya akan memastikan bahawa cabaran yang diberikan oleh presiden dan timbalan presiden parti pada saya untuk kita galas dan menjadi realiti bahawa selepas PRN Sabah akan datang, UMNO akan jadi kerajaan dan bukan lagi sebahagian daripada kerajaan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO 2024 di sini.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasar beliau pada Perhimpunan Agung UMNO 2024 berkata, UMNO berharap untuk kembali menjadi parti dominan dan bebas memilih mana-mana parti untuk menjadi rakan kongsi politik yang dapat menerima agenda parti dalam pemerkasaan Islam dan Melayu.

Iklan

Bung Moktar berkata, ketika ini pihaknya telah menyusun strategi khususnya pada kerusi tumpuan untuk menghadapi PRN, selain maklum dengan saranan Ahmad Zahid bahawa UMNO perlu menentukan hala tuju baharu di negeri itu.

"Ini bermakna kita perlu membuka pintu kita dengan seluas-luasnya, iaitu kita akan mengkaji dengan siapa kita bekerjasama untuk PRN akan datang dan apa pun perundingan kerjasama itu UMNO perlu di hadapan,” katanya yang juga Pengerusi BN Sabah.

Iklan

Beliau turut mengingatkan perwakilan Sabah yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO untuk memanfaatkan ilmu dan amanat yang diperoleh daripada persidangan itu untuk dibawa sebagai ‘bekal’ bagi menghadapi PRN Sabah.

Sementara itu beliau berkata, semangat Perhimpunan Agung UMNO 2024 kali ini dilihat agak berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, yang disifatkan beliau turut dipengaruhi aura kemenangan calon BN pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Nenggiri baru-baru ini.

Bung berkata, bukan sahaja perwakilan, tapi pemerhati dari luar juga membanjiri lokasi perhimpunan tersebut di Pusat Dagangan Dunia, satu isyarat jelas ahli UMNO mahukan perubahan daripada kepimpinan UMNO ke arah menentukan hala tuju parti pada masa akan datang. - Bernama