KONTINJEN Pulau Pinang berjaya mencapai sasaran 40 pingat emas yang ditetapkan pada Temasya Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak ke-21.
Kontinjen Pulau Pinang juga berjaya mendapat 40 pingat perak dan 50 pingat gangsa.
Chef De Mission, Daniel Gooi Zi Sen berkata, sasaran tersebut dicapai melalui kemenangan atlet catur yang berjaya menghasilkan dua pingat emas melalui acara individual blitz lelaki dan individual blitz perempuan di Dewan Jubli UiTM Kota Samarahan.
Beliau yang juga Exco Belia dan Sukan dan Kesihatan negeri berkata, kekentalan dan semangat tidak berputus asa yang ditunjukkan oleh para atlet meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran sepanjang Sukma sangat dikagumi.
"Penghargaan kepada kerajaan Pulau Pinang, Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, persatuan-persatuan Sukan, pengurus pasukan, jurulatih serta para atlet-atlet yang telah bertungkus-lumus berjuang sepenuh hati bagi merealisasikan sasaran dan pencapaian yang membanggakan ini.
"Penghargaan turut disampaikan kepada kerajaan Sarawak selaku tuan rumah penganjuran Sukma dan juga kepada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak yang merupakan agensi bapa angkat kepada kontinjen Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Daniel Gooi berkata, kontinjen Pulau Pinang masih meneruskan cabaran untuk menambah pungutan pingat dalam acara-acara sukan akhir yang sedang berlangsung pada ketika ini.
Beliau berharap agar seluruh Pulau Pinang terus melaungkan sokongan padu kepada atlet-atlet yang sedang berentap untuk terus melakar kejayaan sebelum tirai penutup dilabuhkan pada malam ini.