PUNCAK ALAM - Kemunculan satu lubang dengan kedalaman kira-kira satu meter di hadapan kawasan perumahan mengundang kebimbangan penduduk Pangsapuri Seri Seraya.
Pengawal keselamatan yang mahu dikenali sebagai Ikram berkata, mendapan itu dipercayai berpunca daripada pergerakan aliran air bawah tanah sejak Khamis lalu.
Menurut pemuda berkenaan, penduduk setempat mengakui sudah berhubung dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri mengenai perkara terbabit, namun belum ada khabar setakat ini.
"Jadi, kawasan ini terpaksa ditutup dengan kon buat sementara waktu kerana bimbang ada yang tidak perasan kewujudan lubang lebih-lebih lagi pada waktu malam.
"Kalau dilihat permukaan jalan tar memang nipis, dibawahnya kosong. Dekat sinilah kawasan mendap berlaku dan di kiri atau kanannya ada penghadang saliran longkang.
"Katakanlah berlaku hujan lebat atau gegaran akibat lori lalu-lalang, lubang ini jadi semakin besar,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Sebelum ini, media melaporkan penduduk sudah mula mengadu tentang keadaan jalan tar di hadapan pangsapuri Seri Seraya itu sejak Ahad lepas.
Berdasarkan pemerhatian Sinar Harian di lokasi, terdapat kerja-kerja pembinaan rumah dilakukan bersebelahan pangsapuri terbabit dan lori dipercayai sering keluar masuk untuk mengangkut barang.
Bukan itu sahaja, sistem paip bawah tanah terganggu dan hakisan juga dikhabarkan berlaku kira-kira 100 meter dari tapak tersebut.
Lebih membimbangkan, lubang mendap dikhuatiri menjadi lebih besar atau dalam jika berlaku gegaran dan pergerakan bawah tanah sekiranya tidak ditangani dengan segera.
Lekukan yang berlaku berpotensi mengakibatkan kemalangan motosikal, kereta jatuh terjunam atau kanak-kanak terbabas ke dalam lubang berkenaan.
Ikram turut memaklumkan, dia tidak menolak kemungkinan kejadian itu akan bertukar menjadi lebih parah jika tiada tindakan susulan.
"Kebarangkaliannya 50-50. Memang kecil sahaja (lubang) tapi pelik juga kenapa jadi makin besar.
"Penduduk sekitar pun dah periksa kawasan longkang semuanya tak ada masalah saliran tersumbat," ujarnya lagi.