SANDAKAN - Polis mengesahkan dua mangsa yang maut dalam kemalangan di Jalan Labuk Batu 17 di sini pada pagi Sabtu, melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun dan juga bapa saudaranya.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, pemandu Perodua Axia, Jaslin Mein, 33, dan Rezcya Rizam maut di lokasi kejadian.
Tiga lagi mangsa ialah bapa kepada kanak-kanak yang maut berusia 34 tahun dan dua adik perempuannya masing-masing berusia 11 dan sembilan tahun mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, kemalangan melibatkan sebuah lori dan juga Perodua Axia yang dinaiki lima mangsa.
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kenderaan tersebut bergerak dari arah Ranau ke Sandakan manakala lori yang dipandu seorang lelaki berusia 56 tahun dari arah bertentangan.
"Sebaik tiba di lokasi, Perodua Axia telah hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan lori tersebut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya lagi, susulan kejadian itu menyebabkan dua mangsa maut dan tiga lagi termasuk dua kanak-kanak parah.
"Pemandu dan anak saudaranya meninggal dunia di lokasi kejadian manakala abang pemandu berusia 34 tahun bersama dua adik perempuannya mengalami kecederaan parah.
"Kesemua mangsa masih dirawat di Hospital Duchess of Kent (HDOK) dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan dua maut manakala tiga lagi cedera selepas kereta mereka bertembung dengan sebuah lori lima tan.