KUALA LUMPUR - Seramai enam anggota Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ditugaskan dalam pemeriksaan lurang kumbahan bagi pencarian mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India dekat sini.
Timbalan Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat berkata, seramai dua anggota akan masuk ke dalam lurang kumbahan bagi satu-satu masa.
Menurutnya, tempoh pemeriksaan turut dihadkan selama 20 minit bagi satu-satu masa mengambil kira faktor keselamatan anggota.
"Pasukan skuba masuk ke dalam lurang secara berpasangan antara dua ke tiga anggota dalam satu masa kerana terdapat gas dalam kawasan kumbahan yang boleh memberikan risiko kepada anggota.
"Anggota turut berdepan cabaran arus deras, ruang sempit selain keadaan udara yang berisiko," katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian di Jalan Masjid India dekat sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa meninjau lokasi kejadian tanah jerlus.
Turut hadir hadir, Ketua Polis Daerah Dang Wang, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman.
Dalam pada itu, Sulizmie Affendy ketika mengulas berkaitan arahan penutupan premis perniagaan berhampiran lokasi memaklumkan, arahan penutupan sementara dibuat mengambil kira aspek keselamatan.
Katanya, penutupan sementara itu hanya diarahkan ketika kerja pencarian di lurang kumbahan dilaksanakan.
"Kita tidak arahkan tutup sepenuhnya cuma semasa operasi bukaan lurang kumbahan tersebut, terdapat gas yang mungkin boleh merisikokan kesihatan peniaga.
"Selain itu, lurang kumbahan juga dekat dengan gerai. Jadi sementara kerja-kerja pemeriksaan dijalankan, kita minta operasi perniagaan ditutup sementara," katanya pada Sabtu.
Setakat jam 5 petang, sebanyak empat daripada enam lurang kumbahan telah diperiksa berbaki lokasi Dataran Merdeka dan Bulatan Kinabalu dalam proses pencarian.