Hamas enggan sertai rundingan damai

Iklan
Penduduk Palestin cuba menyelamatkan diri mengharungi asap tebal selepas sebuah bangunan di kem pelarian Nuseirat, tengah Gaza menjadi sasaran bedilan rejim Zionis. Foto AFP

GENTING GAZA - Pegawai kanan Hamas mengesahkan mereka menghantar delegasi ke Kaherah pada Sabtu, namun kumpulan pejuang bumi Gaza tidak akan menghadiri rundingan gencatan senjata di ibu kota Mesir tersebut.

Waktu semakin suntuk selepas negara perantara termasuk Qatar dan Amerika Syarikat (AS) berhempas-pulas untuk mencapai kesepakatan bagi menghentikan perang genosid berlarutan selama lebih 10 bulan di wilayah terkepung berkenaan.

Iklan
Iklan

"Delegasi Hamas akan bertemu pegawai kanan risikan Mesir untuk diberi taklimat tentang kemajuan pusingan rundingan damai tersebut tetapi ia tidak bermakna kami akan turut serta,” ujar jurucakapnya.

Sejak awal, Hamas telah menegaskan bahawa mereka tidak akan terlibat proses tersebut yang bermula di Doha pada minggu lalu.

Iklan

Difahamkan, kunjungan Hamas ke Kaherah dibuat selepas Washington mengesahkan perkembangan positif telah dicapai dalam rundingan berkenaan.

Gerakan tersebut tetap dengan syarat mereka yang menuntut pengunduran pasukan tentera Israel dari seluruh Gaza termasuk kawasan bersempadan dengan Mesir di Koridor Philadelphi.

Iklan

Dalam perkembangan berkaitan, seorang bayi berusia 10 bulan di Gaza dilaporkan lumpuh setelah diserang virus polio jenis dua yang merupakan kes pertama di enklaf tersebut dalam tempoh 25 tahun.

Agensi bantuan di wilayah itu dalam satu kenyataan memberi amaran tindakan menangguhkan jeda kemanusiaan hanya akan meningkatkan risiko penularan polio dalam kalangan kanak-kanak.

Sebelum ini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan kempen vaksinasi polio dijadualkan bermula pada akhir Ogos dan bulan depan di seluruh Genting Gaza bagi mengekang penyebarannya. - AFP