KUALA LUMPUR - Tindakan UMNO yang memohon untuk mempertimbangkan semula pengampunan penuh ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan sandiwara semata-mata.
Naib Pengerusi UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha tersebut bukan gagal, sebaliknya mereka masih belum berjaya kerana situasi itu mempunyai risiko yang besar.
Menurutnya, sebelum ini Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengeluarkan afidavit yang mengesahkan beliau telah melihat sendiri Titah Adendum berkenaan baki hukuman Najib.
"Masakan Ahmad Zahid selaku Timbalan Perdana Menteri dan saya Menteri Besar Pahang, hendak bermain sandiwara atau berdrama mengenai perkara ini.
"Bukannya kecil risiko yang kami ambil dalam situasi ini. Oleh itu, saya mohon agar perwakilan dan seluruh ahli UMNO untuk berikan keyakinan kepada presiden dan seluruh saf kepimpinan UMNO yang ada pada hari ini.
"Selagi ada jalan, selagi ada ruang, selagi ada nyawa dan kudrat kami, ikhtiar bagi mendapatkan keadilan untuk Bossku tidak akan terhenti,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan naib presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Pada Februari lalu, Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Mengulas lanjut, menurut Wan Rosdy, Lembaga Pengampunan telah memutuskan baki hukuman terhadap Naji, namun perkara itu telah menimbulkan tanda tanya sama ada titah tersebut wujud atau tidak.
"Saya juga mengeluarkan afidavit bahawa saya mengetahui kewujudan titah itu,” katanya.