TANJUNG MALIM - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menyelamatkan lapan lagi mangsa yang terperangkap apabila Jambatan Slim Village runtuh akibat kepala air di Kampung Pasir, dekat Sg Geliting, Slim River di sini.
Pegawai APM Daerah Muallim, Kapten (PA) Shahrizal Hussin berkata, operasi menyelamat itu mengambil masa 40 minit dan kesemua mangsa yang diselamatkan terdiri tiga lelaki, empat wanita dan seorang kanak-kanak.
"Kita mulakan operasi menyelamat sekitar jam 2.05 petang dan berakhir pada jam 2.45 petang, menggunakan bot penyelamat milik APM.
"Mangsa kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Jamek Kampung Pasir dan berada dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Terdahulu, seramai 21 mangsa yang terperangkap Risda Eco Park berhampiran sungai berkenaan selamat dipindahkan pada 12 tengah hari tadi.
Semalam, Penolong Pengarah Operasi JBPM Perak Sabrodzi Nor Ahmad memaklumkan seramai sembilan mangsa banjir di Kampung Pasir berjaya diselamatkan malam tadi.
Hujan berterusan yang melanda beberapa kawasan di daerah Muallim sejak petang semalam menyebabkan banjir dan kepala air berlaku sehingga mengakibatkan jambatan berkenaan terpaksa ditutup untuk semua kenderaan.
Shahrizal turut menasihatkan penduduk kawasan sekitar Kampung Pasir supaya berwaspada dan mendapatkan bantuan lebih awal jika bencana berkenaan berulang.
"Kita tidak menolak kemungkinan bencana sama berulang dalam tempoh waktu ini dan kita harapkan mereka yang enggan berpindah sentiasa berwaspada dan mendapatkan bantuan lebih awal jika berlaku sebarang risiko,” katanya. - Bernama