BESUT - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan kawasan tumpuan pengunjung di seluruh negara digazetkan sebagai kawasan Bebas Asap Rokok.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah tersebut dapat dilaksanakan sekiranya mendapat kerjasama antara Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) bersama Exco Kesihatan dalam usaha memastikan persekitaran yang bebas asap di kawasan tersebut.
"Saya harapkan kerjasama JKN di setiap negeri bersama Exco Kesihatan supaya dapat mengembleng tenaga menetapkan suatu kawasan Bebas Asap Rokok khususnya di kawasan pantai.
"Dengan adanya zon Bebas Asap Rokok itu dapat mengelakkan pembuangan puntung-puntung rokok yang seharusnya tidak berada di kawasan itu (pantai).
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (Bebas) di Kampung Nelayan, Pulau Perhentian Kecil, di sini pada Sabtu.
Sebelum ini Sinar Harian menerusi laporan Khas melaporkan keindahan kebanyakan pantai tumpuan pelancong di Malaysia terus dicemari dengan ribuan puntung rokok yang dibuang merata-rata oleh pengunjung sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kesan sampah beracun itu kepada alam sekitar.
Lebih memalukan, puntung rokok menduduki antara tempat teratas sampah yang paling banyak ditemui di pantai peranginan.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, setakat ini terdapat empat negeri yang telah mengenal pasti beberapa kawasan yang digazetkan sebagai kawasan Bebas Asap Rokok iaitu Terengganu, Melaka, Pulau Pinang dan Kelantan.
"Sudah ada empat negeri laksanakan Bebas Asap Rokok iaitu Pulau Pinang, Melaka, Kelantan dan Terengganu. Tahniah pada empat negeri itu kerana sudah adakan program tersebut.
"Jadi saya harap ada kerajaan negeri menambahkan lagi kawasan Bebas Asap Rokok. Saya sasarkan seluruh negara supaya laksanakan perkara tersebut.
"Tidak ada yang terkecuali kerana ia adalah sangat penting dalam memastikan tidak berlaku pencemaran (puntung rokok dibuang) serta kawasan bebas asap rokok," jelas beliau.